NORA Danish dan Putera Rayqal.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kehadiran anak kepada pelakon dan usahawan, Nora Danish di majlis pertunjukan fesyen baru-baru ini mencuri tumpuan tetamu.

Mengakui perkara itu bukan sesuatu yang baru buat Putera Rayqal, 7, Nora bagaimanapun tidak mahu terlalu membiasakan anaknya.

Pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit ini berkata, bukan mudah memujuk Rayqal mengikutnya ke sebarang acara memandangkan anaknya itu ada ‘mood’ dan kerenah tersendiri.

“Agak lama juga saya tidak membawanya ke mana-mana acara. Jika mood baik dia akan ikut. Setiap kali saya ajak, dia akan bertanya acara itu untuk apa.

“Ikutkan saya mahu selalu bawa dia tetapi bukan mudah memujuknya. Malah, dia peranah meragam sebab mahu pulang cepat. Sebagai ibu saya faham dia masih kecil.

“Disebabkan itu, saya akan pastikan sama ada sesuai atau tidak untuk bawa dia. Bergantung juga pada tempoh masa sesuatu acara,” katanya.

Berkongsi perkembangan anaknya, Nora berkata Rayqal kini bersekolah di sekolah antarabangsa.

Menariknya, Rayqal menunjukkan minat terhadap subjek muzik selain beberapa mata pelajaran lain.

“Walaupun umurnya baru tujuh tahun, Rayqal sudah berada di darjah tiga. Alhamdulillah, setiap tahun dia menunjukkan prestasi dan perkembangan yang baik. Sebagai ibu, saya bangga dengan pencapaian Rayqal.

“Saya akui pada zaman serba moden ini, sistem pendidikan juga semakin jauh ke depan. Saya dapati kerja sekolah pun sangat mencabar. Disebabkan itu saya hantar dia ke kelas tambahan.

“Selain itu, dia juga mengikuti kelas agama dan piano. Namun, buat masa ini saya hentikan seketika kelas muzik kerana mahu Rayqal fokus pada subjek lain,” katanya.

Mengulas lanjut kecenderungan puteranya itu, Nora yang berstatus ibu tunggal sejak lapan tahun lalu tidak menghalang Rayqal membabitkan diri dalam apa jua bidang yang diminati.

“Saya tidak kisah jika dia meminati bidang muzik. Lagipun, saya memang nak dia melakukan banyak perkara. Daripada situ, dia boleh menilai bidang mana yang sesuai dengan jiwanya.

“Sebagai ibu saya tidak putus berikan sokongan. Asal saja mendatangkan kebaikan dan bermanfaat, saya okey. Bagaimanapun, pendidikan masih menjadi keutamaan saya,” katanya.

Pun begitu, Nora belum bersedia membenarkan Rayqal menceburi bidang lakonan meskipun mendapat pelbagai tawaran.

Sambung Nora, dia tidak sampai hati melihat anaknya yang masih kecil keluar bekerja seperti orang dewasa.

Anak tak ada laman sosial

Dalam pada menyokong setiap minat Rayqal, pemilik kafe Kopi & XOXO ini mengelakkan mewujudkan akaun laman sosial untuk buah hatinya itu.

“Ikutkan, boleh saja saya buat akaun Instagram, Snapchat dan banyak lagi untuk Rayqal. Dia pun tahu kewujudan laman sosial tetapi saya ambil pendekatan untuk tidak berbuat sedemikian.

“Saya biarkan dia memilih jalan sendiri. Pada usia semuda itu saya rasa tidak sesuai jika ada akaun laman sosial. Apatah lagi ramai lebih gemar melontarkan komen negatif berbanding positif di laman sosial.

“Cukuplah saya seorang saja yang melaluinya. Saya tidak mahu Rayqal berdepan situasi yang tidak menyenangkan. Apabila dewasa kelak, pandai-pandailah dia menilai,” katanya.

Beralih perkembangan kariernya, Nora baru saja selesai menjalani penggambaran muzik video lagu terbaru Aizat Amdan yang turut digunakan dalam iklan baru produk Safi Rania.

Penggambaran yang dijalankan di Bali, Indonesia itu turut dijayakan Remy Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 11:27 AM