CITA.
PERSEMBAHAN bertenaga daripada Cita
PENONTON berasak-asak di depan pentas untuk melihat Cita dari dekat.
CITA turut meluangkan masa untuk bergambar bersama peminat selepas selesai melakukan persembahan.
Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Kehadiran penyanyi dangdut sensasi Indonesia Cita Citata yang mengadakan persembahan di Dataran Parkir, Angsana Mall, Ipoh, baru-baru ini hampir mencetuskan ketegangan apabila sebahagian peminat berasak-asak di depan pentas untuk melihat persembahan penyanyi itu dari dekat.

Namun, kecekapan anggota keselamatan mengawal penonton berjaya mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Konsert yang dibawa oleh Celcom Xpax sempena kempen promosi Yonder Music Live Series Konsert Cita Citata itu berjaya menarik kira-kira 3,000 penonton.

Cita, 22, atau nama sebenarnya Cita Rahayu yang berasal dari Bandung tampil di atas pentas menerusi lagu pertamanya Meriang kira-kira jam 6.30 petang sambil mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Sebahagian penonton yang juga terdiri daripada warga Indonesia seolah-olah bagaikan histeria sebaik sahaja melihat penampilan penyanyi pujaan mereka itu.

Cita turut menyampaikan lagu terbarunya berjudul Uwiw-uwiw di samping lagu yang mencetus fenomena tersendiri iaitu Sakitnya Tuh Disini dan Goyang Dumang yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri.

Berbekal pada rupa paras yang menawan dan gemersik suara persembahan penyanyi itu ternyata memukau peminat yang hadir.

Penampilan mesra dan mudah didekati juga membuatkan Cita disanjung peminatnya.

Pada kunjungan pertamanya di Ipoh itu, penyanyi terbabit turut meluangkan masa selama 40 minit untuk bergambar bersama 30 peminat bertuah yang terpilih.

Selain Ipoh, Cita bakal menghiburkan peminat di Johor Bahru, Ahad ini.

Terdahulu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan Cat Farish & The Three Swagger. Persembahan turut dimeriahkan dengan pertandingan karaoke yang disertai lebih 20 peserta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Yonder Music Inc (YM) Adam Kidron berkata, pihaknya merancang mengadakan satu konsert besar di Indonesia membabitkan ramai penyanyi popular negara itu seperti Cita, Rossa, Afgan dan ramai lagi.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Cita, Adam berkata, objektif YM menganjurkan konsert di Ipoh ialah untuk menarik warga Indonesia di Perak untuk menggunakan aplikasi YM.

Katanya, pemilihan Cita Citata dilakukan kerana statusnya sebagai bintang pop dangdut antarabangsa dan genre dangdut sangat popular dalam kalangan warga Indonesia.

“Kerjasama daripada Cita Citata akan berjaya menarik rakyat Indonesia untuk menggunakan aplikasi YM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 11:23 AM