LUCERO (dua dari kanan) menjaringkan gol ketujuh Johor DT.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) nyata berada dalam kelas tersendiri meneruskan pemburuan mempertahankan trofi Piala AFC selepas berpesta gol menewaskan Kaya FC 7-2 pada aksi pusingan 16 pasukan terbaik di Stadium Larkin, malam tadi.

Walaupun turun tanpa kapten Safiq Rahim yang diketepikan akibat kecederaan, ia tidak menghalang skuad kendalian Mario Gomez yang memegang status juara bertahan untuk menjinakkan skuad bimbingan Joel Villarino sekali gus melangkah ke suku akhir .

Sebaik perlawanan bermula, skuad Harimau Selatan mula mengasak untuk memburu gol awal namun tandukan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak dihalang Alfred Osei.

Gol pertama tuan rumah sepatutnya hadir pada minit ke-11 tetapi kuisan Juan Martin Lucero yang menerima umpanan S Kunanlan sedikit tersasar ketika penjaga gol pelawat Matt Acton sudah tertewas.

Selepas asakan bertali arus ke kubu pelawat, akhirnya gol pertama ditemui pada minit ke-14 apabila sepakan percuma Lucero dari jarak 25 meter menerjah gawang Kaya FC.

Tindakan Osei yang melakukan terjahan keras terhadap Jorge Pereyra Diaz nyata mengundang padah selepas pengadil dari Qatar Fahad Jabeer Al-Marri menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-23 dan pemain import dari Argentina itu mudah menyudahkan bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Tuan rumah terus menambah derita pelawat pada minit ke-35 selepas bola sepakan jauh penjaga gol Izham Tarmizi Roslan membuka ruang untuk Diaz berlari pantas di sayap kiri sebelum melorongkan kepada Azammudin Akil yang sempat menguis bola yang mengelirukan Acton untuk gol ketiga.

Azammudin mencetak gol kedua peribadi ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan pada babak pertama selepas bijak melencongkan bola hasil umpanan ke belakang Lucero untuk kedudukan 4-0.

Bersambung babak kedua, pelawat mula menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-52, Jose Elmer Porteria berjaya menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan untuk menjaringkan gol pertama.

Namun, selang seminit, Lucero yang tidak dikawal mudah menyumbat gol kelima dan pada minit ke-68 pemain gantian Mahali Jasuli turut mengukir nama selaku penjaring gol keenam sebelum Lucero melengkapkan hatrik pada minit ke-69.

Ketika aksi berbaki dua minit, pelawat meraih gol kedua selepas bola umpanan Forteria disambar Antonio Ugarte yang menewaskan Izham tetapi ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan besar Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 8:12 AM