PENUNJUK perasaan anti-Trump cuba merempuh bangunan tempat dia berucap.
Agensi

Los Angeles: Penunjuk perasaan yang membantah Donald Trump melontar batu dan botol di luar perhimpunan tempat dia berkempen di New Mexico semalam.

Ia berlaku pada hari sama bilionair hartanah mulut celupar itu memenangi pengundian parti Republikan di negeri Washington untuk memilih calon pilihan raya presiden Amerika Syarikat November depan.

Kemenangan itu meletakkan Trump, satu-satunya calon Republikan yang tinggal, lebih dekat untuk meraih pencalonan parti itu.

Bagaimanapun, kejayaan itu dibayangi keganasan tunjuk perasaan anti-Trump di Albuquerque di negeri New Mexico, barat daya Amerika Syarikat.

Kekacauan meletus di luar perhimpunan Trump apabila penunjuk perasaan menyerbu penghadang dan cuba memasuki pusat konvensyen tempat dia berucap.

Penunjuk perasaan membakar kemeja-T, melontar botol dan batu ke arah polis.

Pasukan keselamatan yang menunggang kuda dan anggota bersenjatakan belantan menggunakan penyembur lada serta bom asap dalam usaha menyuraikan penunjuk perasaan.

Beberapa anggota polis cedera dan seorang penunjuk perasaan ditangkap.

Penunjuk perasaan, sebahagiannya mengibar bendera Mexico, turut melaungkan slogan mengecam bilionair itu.

Trump sebelum ini menyuarakan rancangan membina tembok di sepanjang sempadan Amerika dan Mexico serta menuduh pendatang Mexico perogol dan pengedar dadah.

Dia juga menggesa supaya 11 juta pendatang tanpa dokumen diusir dari Amerika Syarikat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:17 AM