PERKAHWINAN bawah umur beri tekanan besar pada remaja perempuan.
KELAB bola sepak kelolaan Zoungrana beri ruang remaja perempuan bina keyakinan diri.
KELAB ditubuhkan bukan sekadar bersukan tapi juga bincang mengenai seks, perkahwinan.
KEBANYAKAN wanita di Burkina Faso berkahwin pada usia remaja, sebelum mencecah 18 tahun.

Ketika Ines Sanso berusia 15 tahun, keluarganya sudah membuat perancangan untuk mengahwinkannya dengan lelaki yang tiga kali ganda usianya. Dek kemiskinan yang menghimpit hidup, keluarganya yang tinggal di Yako, sebuah perkampungan kecil di utara Burkina Faso, memberitahu Sanso sudah tiba masanya untuk dia menjadi isteri dan ibu.

Masalah Sanso itu diketahui oleh gurunya, Catherine Zoungrana. Dia dan guru lain di sekolah menengah di kampung itu mengetepikan sedikit duit poket masing-masing dan berjaya mengumpulkan kira-kira RM100 untuk diserahkan kepada keluarga Sanso.

Mereka cuba meyakinkan ibu bapa Sanso untuk menangguhkan dulu rancangan me­ngahwinkannya dan menggunakan duit berkenaan bagi membiayai persekolahannya. Harapan mereka, supaya Sanso boleh terus bersekolah dan mendapat calon suami yang lebih baik apabila tiba masanya kelak.

Enam tahun berlalu, kini Sanso bekerja sebagai guru sekolah rendah di pekan Ouahigouya, tidak jauh dari kampungnya.

“Dia (Sanso) akan berkahwin tidak lama lagi, tetapi dengan lelaki yang dicintainya,” kata Zoungrana kepada wartawan Thompson Reuters Foundation dengan wajah yang berseri.

Sebenarnya rancangan untuk mengahwinkan anak dara pada usia muda seperti dilakukan ibu bapa Sanso bukanlah perkara asing di Burkina Faso. Ini kerana kadar perkahwinan bawah umur di Burkina Faso adalah yang keenam tertinggi dalam kalangan negara Afrika. Satu dalam 10 kanak-kanak perempuan berkahwin pada usia 15 tahun dan lebih 50 peratus lagi mendirikan rumah tangga pada usia 18 tahun, menurut laporan Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Perkahwinan paksa sebenarnya menyalahi undang-undang di negara Afrika Barat, namun undang-undang itu hanya terpakai di atas perkahwinan yang didaftarkan. Majlis perkahwinan berlandaskan agama dan kebudayaan (yang bertanggungjawab ke atas kebanyakan kes kahwin paksa dan bawah umur di Burkina Faso) terkecuali daripada peraturan berkenaan, lapor Amnesty International bulan lalu.

Kejayaannya melengahkan perkahwinan Sanso rupanya memberi semangat baru kepada Zoungrana untuk membantu menangani pelbagai masalah berkaitan perkahwinan bawah umur di kawasan berkenaan dengan calon suami dipilih sebaik seseorang bayi perempuan dilahirkan.

“Pada 2012, saya memulakan kelab bola sepak di sekolah. Kelab ini bukan saja menjadi medan bersukan tetapi pelajar boleh berbincang secara terbuka mengenai perkara berkaitan dengan seks, hubungan dan perkahwinan,” katanya.

Bersemuka dengan ibu bapa

Duduk sama mendengar perbualan pelajar perempuan sebelum dan selepas latihan bola sepak membolehkan Zoungrana mengenal pasti masalah dan mengutarakan isu yang membabitkan pelajar serta keluarga mereka.

“Pelajar ini sebenarnya sudah membincangkan sesetengah daripada isu yang saya ketengahkan sesama sendiri, tetapi mereka tidak yakin untuk bercakap mengenainya dengan keluarga masing-masing,” kata Zoungrana.

Walaupun dia bertanggungjawab menubuhkan kelab bola sepak, tetapi sebenarnya Zoungrana tidak tahu satu apa pun mengenai sukan itu. Alasannya cukup mudah - dia memilih bola sepak kerana ia mempunyai daya tarikan yang cukup luas.

“Semua orang sukakan bola sepak tetapi di sini ia bukan jadi sukan untuk perempuan,” katanya.

Untuk melengkapkan diri, wanita gigih ini mengambil ijazah pengajaran sukan sebagai tambahan kepada tugas hariannya sebagai guru supaya dia sendiri dapat melatih pelajarnya.

Bermula dengan 40 pelajar berusia 12 hingga 23 tahun, kelab itu kini mempunyai 160 ahli daripada empat sekolah berhampiran.

“Saya menjemput guru besar dari sekolah lain di kawasan ini untuk datang menyaksikan perlawanan bola sepak kami. Mulanya mereka agak skeptikal dan mengatakan wanita tidak sesuai mengajar sukan. Namun, akhirnya mereka tertarik dan mahu tahu lebih lanjut apabila melihat betapa popularnya kelab bola sepak kami,” kata Zoungrana.

Sebenarnya tentangan datang dari pelbagai sudut, guru sekolah dan ibu bapa.

“Golongan bapa yang paling kuat membantah kerana beranggapan kelab ini akan menjauhkan anak mereka daripada belajar memasak atau membantu menjaga adik yang lebih kecil,” jelasnya.

Untuk meyakinkan mereka, dia mengunjungi rumah dan berjumpa ibu bapa setiap pelajarnya untuk memujuk supaya memberi kebenaran kepada anak menyertai kelab berkenaan.

“Akhirnya mereka mengalah, mungkin kerana ibu bapa ini tidak mahu tengok muka saya lama-lama!” katanya sambil ketawa.

Menurut Zoungrana lagi, inisiatif bola sepak itu bagaimanapun memberi peluang kepadanya untuk mencegah perkahwinan paksa dalam kalangan pelajar perempuan.

Bagaimanapun dia masih tidak berpuas hati. Masih terlalu banyak yang dia perlu lakukan.

“Antara yang saya kesalkan ialah, saya hanya diberi kebenaran mengajar remaja perempuan yang bersekolah. Mungkin mereka yang tidak bersekolah itu yang lebih memerlukan bantuan,” katanya.

Buat pilihan

Menurut laporan UNICEF pada 2014, di seluruh dunia, lebih 700 juta wanita berkahwin sebelum sempat menginjak usia 18 tahun. Lebih satu dalam tiga berkahwin di bawah umur 15 tahun.

Pengantin kanak-kanak sebenarnya mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penderaan domestik dan seksual selain jangkitan HIV.

Perkahwinan bawah umur juga akan menyekat laluan pendidikan kanak-kanak perempuan dan meningkatkan risiko kematian atau kecederaan ketika melahirkan anak jika dia mengandung sebelum badannya bersedia (cukup matang untuk hamil).

“Seorang remaja perempuan yang tidak tahu atau memahami badannya sendiri belum layak untuk mengandung apatah lagi mempunyai anak,” kata Zoungrana yang menggalakkan pemain bola sepaknya untuk bercakap secara terbuka mengenai keseksualan dan perancangan keluarga. Malah, mereka dialu-alukan bertanya jika ada sebarang kemusykilan.

Kurang daripada satu dalam enam wanita dan remaja perempuan di Burkina Faso menggunakan kaedah pencegahan kehamilan. Ia secara tidak langsung meningkatkan risiko mendapat kehamilan yang tidak dikehendaki atau berisiko tinggi, kata Amnesty.

Didapati sekurang-kurangnya 2,800 wanita di Burkina Faso meninggal dunia setiap tahun ketika melahirkan anak. Angka ini sebenarnya boleh dikurangkan sehingga satu pertiga jika mereka ada akses yang lebih baik kepada kaedah kawalan kehamilan.

Kelab bola sepak itu sendiri tidak akan menghentikan amalan perkahwinan bawah umur di Yako. Namun Zoungrana berharap projeknya itu sekurang-kurangnya dapat membantu remaja perempuan untuk berani bersuara dalam menentukan kehidupan mereka.

“Peluang membuat pilihan sendiri adalah hak setiap insan,” katanya. - Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 5:01 AM