Ruslan dibelasah sampai mati. FOTO ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Lelaki berusia 62 tahun diculik dan dibelasah hingga mati oleh sekumpulan lelaki di Ipoh pada Khamis lalu di dipercayai berpunca daripada masalah hutang.

Mangsa dikenali sebagai Ruslan Adnan diculik sekumpulan lelaki di restoran di Kampung Rapat, di sini, 7.30 pagi ketika minum bersama isterinya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil siasatan awal, isteri mangsa yang berusia 46 tahun mendakwa ketika dia bersama suami singgah minum di restoran berkenaan beberapa lelaki memaksa suaminya masuk ke dalam kenderaan jenis Perodua Alza.

"Isteri mangsa kemudian cuba menghubungi telefon bimbit mangsa namun gagal kerana telefon berkenaan ditutup.

"Wanita terbabit kemudian cuba mencari suaminya dengan menghubungi saudara mara tetapi turut gagal dan membuat laporan polis selepas itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Chang Keong berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa dibawa lari dari restoran terbabit ke sebuah rumah di Tambun, di sini sebelum dipercayai dibelasah

"Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh suspek, namun kemudian disahkan meninggal dunia.

"Bedah siasat dijalankan pada 20 Mei lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan punca kematian adalah kecederaan di kepala dan senjata yang digunakan dipercayai objek keras dan tumpul," katanya.

Menurutnya, siasatan polis juga mendapati kejadian ini dipercayai berpunca daripada masalah hutang dan polis setakat ini sudah menahan tujuh suspek bagi membantu siasatan.

"Kita percaya kes ini selesai dan kertas siasatan sedang dilengkapkan serta akan dihantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan dua individu iaitu isteri mangsa yang juga warga Indonesia dan anak lelaki mangsa yang berusia 23 tahun.

"Dua beranak terbabit ditahan dan direman hingga hari ini bagi membantu siasatan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

"Tangkapan kedua membabitkan lima individu iaitu seorang wanita tempatan berusia 39 tahun dan empat lelaki tempatan berusia 48 hingga 57 tahun yang semuanya direman hingga Isnin depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 10:53 PM