ANTARA penagih yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu di Besut. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Jertih: Seramai 53 penagih ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu di lima lokasi berasingan di sekitar daerah ini, pagi tadi.

Operasi bermula 2 pagi dan berakhir 8 pagi itu dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Kesemua penagih berusia antara 18 hingga 50 tahun itu ditahan di lima lokasi di Kuala Besut, Kampung Raja, Jertih, Pasir Akar dan Hulu Besut dalam operasi yang membabitkan 101 pegawai dan anggota.

Ketua Bahagian Penguatkuasa AADK negeri, Muhamad Che Ismail berkata, pihaknya turut merampas 45 biji pil dan syabu seberat 0.12 gram yang dianggarkan bernilai RM720 sepanjang operasi itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 22 individu disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 10 lagi disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (APD) 1983.

"Enam individu pula disiasat mengikut Seksyen 8(3)(a) APD, Seksyen 6(3) APD (lima), Seksyen 12 (2) ADB 1952 (lima) dan lima lagi dikehendaki polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 6:15 PM