NICOL (kanan) tekad tebus kekalahan sebelum ini.
AFP

Dubai: Legenda skuasy Datuk Nicol David mengakui perlu menyesuaikan diri dengan perubahan besar sukan itu ketika berusaha meraih satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya minggu ini.

Juara dunia lapan kali itu mampu meraih gelaran hatrik Siri Dunia Persatuan Skuasy Antarabangsa (PSA) sekiranya menjuarai edisi baru kejohanan itu yang diadakan di depan Burj Khalifa, mulai semalam.

Nicol yang bagaimanapun hanya menjuarai satu kejohanan besar dalam tempoh 17 bulan selepas menjulang gelaran dunia kelapan, tidak lama selepas PSA menurunkan ketinggian tin (bersamaan dengan jaring dalam sukan tenis) sebanyak dua inci.

Ia membuatkan aspek permainan wanita sama seperti lelaki dan menawarkan bantuan signifikan kepada mereka yang lebih berani membuat pukulan.

“Tin yang lebih rendah memberikan fokus tambahan terhadap permainan,” kata Nicol yang gaya permainannya bergantung kepada kepantasan, pergerakan dan corak rali tertentu.

“Jadi pemain dengan gaya permainan berbeza akan mencuri tumpuan.

“Sesetengah pemain menyesuaikan diri dengan lebih pantas yang sekali gus memberi kelebihan kepada mereka. Anda boleh melihat perubahan momentum itu.”

Dia mungkin merujuk kepada dua pemain Mesir dengan pukulan bertenaga, Nouran Gohar, juara remaja dunia berusia 18 tahun yang menewaskannya di Terbuka China, Shanghai September lalu dan Nour El Sherbini, pemain berusia 20 tahun yang menggantikan tempat Nicol sebagai juara dunia bulan lalu dan kini menduduki ranking nombor satu dunia.

Nicol mungkin perlu menebus kekalahan itu jika mahu layak ke separuh akhir untuk berdepan Nouran dalam kumpulan round robin.

Begitu juga dengan Laura Massaro, pemain Inggeris yang menduduki ranking nombor satu dunia sehingga akhir April lalu dan Amanda Sobhy, pemain Amerika Syarikat pertama dalam kelompok 10 teratas.

Nour kini menjadi pilihan utama kejohanan besar buat pertama kali dan mengetuai kumpulan lain. Ia turut membabitkan rakan senegara Raneem El Welily, pemain nombor satu dunia buat beberapa ketika tahun lalu dan pemain Mesir keempat, Omneya Abdel Kawy, bekas finalis dunia selain Camille Serme, bekas juara Terbuka Britain dari Perancis.

“Wujud pelbagai gaya permainan dalam kategori wanita,” kata Nicol. “Pada masa sama semuanya perlu mengkaji semula gaya permainan mereka dan bersedia menghadapi apa saja yang datang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:49 AM