PENDUDUK Palestin mengusung jenazah Maram Abu Ismail, 23, dan adiknya, Ibrahim Taha, 16, yang terbunuh selepas polis Israel menembak mereka di Qalandiya, kononnya kerana cuba melancarkan serangan. Mereka dikebumikan di Qatanna, Tebing Barat, semalam.
AFP

Ramallah: Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah semalam menolak cadangan Israel untuk satu rundingan terus berbanding inisiatif damai multilateral tajaan Perancis yang didakwanya satu cubaan melengah-lengahkan masa.

Rami mengeluarkan kenyataan itu ketika bertemu Perdana Menteri Perancis, pelbagai hala yang berbincang di Israel dan wilayah Palestin pada minggu ini bagi meneruskan inisiatif damai berkenaan.

“Masa kini semakin suntuk.

“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu cuba melengah-lengahkan masa tetapi kali ini dia tidak akan terlepas daripada komuniti antarabangsa,” katanya.

Netanyahu sebelum ini menolak rancangan damai Paris berkenaan dan mendesak rundingan terus diadakan.

Inisiatif Perancis termasuk mengadakan satu pertemuan dengan menteri luar dari beberapa negara pada 3 Jun ini tanpa kehadiran wakil Israel dan Palestin.

Satu persidangan antarabangsa kemudian diadakan pada musim luruh ini dengan kehadiran Israel dan Palestin.

Sasarannya adalah menyambung semula rundingan yang akhirnya akan membawa kepada penubuhan sebuah negara Palestin.

Rundingan damai antara Israel dan Palestin tertangguh sejak inisiatif tajaan Amerika Syarikat gagal pada April 2014. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 7:26 AM