Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan RM6.78 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2016, penurunan 36.21 peratus berbanding RM10.63 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, keadaan pelaburan pada suku tahun ini amat berbeza dengan suku tahun yang sama pada tahun lalu di mana KWSP berupaya meraih pulangan lebih baik dari pelaburan luar negara terutamanya dari pasaran ekuiti membangun yang menampung pasaran ekuiti domestik yang lemah.

Menurutnya, suku pertama tahun ini menyaksikan hampir semua pasaran ekuiti global, termasuk Bursa KLCI mencatat kejatuhan seterusnya mengakibatkan pengurangan daripada segi sumbangan pendapatan dari jumlah portfolio ekuitinya menjadikan sumbangan aset global kepada jumlah pendapatan menurun 22 peratus berbanding 47 peratus tahun lalu berikutan modal dan kadar pertukaran asing yang rendah.

“Di dalam suku tahun yang dikaji, Ekuiti merangkumi 41.43 peratus jumlah aset pelaburan KWSP menyumbang RM2.55 bilion, mewakili 37.56 peratus daripada jumlah pendapatan. Pendapatan yang dijana adalah 59.98 peratus lebih rendah berbanding RM6.36 bilion yang dicatat pada suku tahun sama pada 2015.

“Walaupun pendapatan dari pembayaran dividen adalah konsisten dengan suku pertama tahun lalu, kejatuhan pasaran saham global dan domestik mengehadkan peluang KWSP merealisasikan pendapatan dagangan untuk suku pertama 2016,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Shahril Ridza berkata, pulangan rendah dari pelaburan ekuiti ditampung pulangan dari pendapatan tetap dan aset inflasi yang kekal teguh serta stabil sepanjang suku tahun berkenaan di mana peruntukan lebih separuh dari aset pelaburan pendapatan tetap, memainkan peranan dalam menyumbang pulangan pelaburan jangka panjang yang mapan.

Berakhir Mac 2016, instrumen pendapatan tetap, mewakili 51.72 peratus dari jumlah saiz pelaburan KWSP yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan bagi suku pertama 2016 dan kelas aset ini menyumbang RM3.74 bilion kepada pendapatan pelaburan bersamaan 55.15 peratus pendapatan suku tahun.

Sekuriti Kerajaan Malaysia menjana pendapatan RM1.87 bilion dalam suku tahun yang dikaji, naik 9.80 peratus atau RM166.74 juta berbanding RM1.70 bilion dalam suku sama pada 2015, manakala pinjaman dan bon merekodkan pendapatan pelaburan RM1.87 bilion berbanding RM2.03 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 6:47 AM