Antara yang menuntut pemulangan wang pembatalan penerbangan Rayani Air di Shah Alam petang tadi. FOTO Ayusliza Azizan
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seramai 40 penumpang Rayani Air berhimpun di luar pejabat cawangan syarikat itu di sini bagi mengetahui status pemulangan wang pembatalan penerbangan mereka kira-kira 3 petang tadi.

Hasrat mereka bagaimanapun gagal apabila tiada kakitangan daripada syarikat penerbangan terbabit tampil memberi penjelasan.

Wakil penumpang Nik Azida Nik Mahmood, 40, berkata, perjumpaan secara aman itu bagi mendapatkan penjelasan selepas 30 hari janji pembayaran pulangan akan dibuat oleh Rayani Air kepada penumpang yang dimuat naik pada status Facebook syarikat penerbangan patuh syariah itu.

"Perjumpaan bertujuan membuat tuntutan aman berhubung bayaran balik harga tiket penerbangan berikutan kes pembatalan penerbangan kami.

"Anggaran jumlah kerugian yang dialami lebih RM150,000 membabitkan 200 orang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 untuk meminta pihak berkuasa melakukan siasatan.

Pada 11 April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan operasi Rayani Air digantung tiga bulan kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan kementerian terbabit dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Sebelum ini Rayani Air berdepan pelbagai isu sehingga mendapat rungutan penumpang seperti pembatalan dan kelewatan penerbangan selain mogok dilancarkan juruterbang syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 5:47 PM