Shahrul Anuar dijel empat bulan dan denda RM1,000. FOTO Ghazali Kori
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 terhadap penganggur, Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, selepas didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, di sini tahun lalu.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah juga membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga selesai rayuan.

Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 3:08 PM