CALON SPM menduduki peperiksaan. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KM) kini dalam proses menyediakan indikator bagi memastikan kesediaan pelaksanaan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalananthan berkata, kementerian sentiasa melakukan tinjauan termasuk mendapatkan pandangan orang ramai dan pakar bahasa sebelum dasar berkenaan dapat dilaksanakan.

"Setakat ini, kira-kira 50,000 orang di seluruh negara terbabit dengan tinjauan ini. Saya sendiri mempengerusikan satu mesyuarat dan kita menjemput pakar bahasa dan pihak berkepentingan untuk mendapat pendapat mereka.

"Kementerian komited untuk memastikan pelaksanaan dasar ini kerana kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama antarabangsa serta memastikan sistem pendidikan negara pada masa depan diperkukuhkan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mengenai kajian dan tinjauan oleh kementerian dalam pelaksanaan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat SPM.

Pada Ogos tahun lalu, KPM mengumumkan penangguhan syarat wajib lulus mata pelajaran itu bagi memberi ruang kepada guru, murid serta pihak berkaitan membuat persediaan rapi.

Pelaksanaan syarat wajib bahasa Inggeris itu bertujuan melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan (BN-Paya Besar) mengenai usaha kementerian untuk meningkatkan penguasaan guru bahasa Inggeris bagi membolehkan pelaksanaan syarat berkenaan dilaksanakan pada masa depan, Kamalananthan berkata, beberapa usaha sudah dilaksanakan untuk tujuan berkenaan.

Antaranya,memberi kursus program intervensi Bahasa Inggeris (Pro-ELT) sejak 2012 yang disertai 16,000 guru dan pelaksanaan program literasi & numerasi (LINUS) 2.0 merangkumi skop bahasa Inggeris pada 2013 khusus bagi memastikan penguasaan asas bahasa berkenaan kalangan murid tahun satu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 2:29 PM