MANGSA maut selepas tercampak keluar dari lori. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Kelindan lori maut selepas lori dinaikinya terbabit kemalangan dengan kereta sebelum terbalik di Kilometer 91, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Air Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Samana Othman, 47, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari lori yang dipandu rakannya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Paka ke Dungun dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan.

Pada masa sama, kereta terbabit dipercayai melanggar tayar belakang lori yang dinaiki mangsa yang menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia serta merta di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:35 PM