SEBAHAGIAN daripada beras untuk diagihkan di Majlis Penyampaian Beras Fidyah Daerah Kota Setar dan Pokok Sena di perkarangan tempat letak kereta Menara Zakat, Jalan Teluk Wanjah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Syahid Sokri
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah LZNK menyerahkan sebanyak 53,073 kampit beras kepada 541 kariah masjid di seluruh negeri hasil dari bayaran fidyah tahunan untuk diagihkan kepada fakir miskin dan ibu tunggal sebagai persiapan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata, setiap masjid akan menerima 100 kampit beras untuk diedarkan kepada anak kariahnya secara berperingkat sehingga Khamis minggu depan.

Menurutnya, pemberian ini mengikutjumlah bayaran fidyah yang diterima pada tahun 2015 iaitu sebanyak RM602,064 dan meningkat daripada tahun sebelumnya sebanyak RM480,710.

"Bayaran fidyah bagi tahun lalu dan tahun ini adalah sebanyak RM2.60 untuk secupak beras bersamaan sehari yang perlu dibayar oleh mereka yang terpaksa meninggalkan ibadat puasa.

"Tujuan utama kita mengedarkan agihan fidyah dengan lebih awal adalah untuk memastikan asnaf fakir miskin dapat membuat persediaan untuk Ramadan lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan agihan beras kepada kariah masjid di Menara Zakat, Jalan Teluk Wanjah, di sini, tadi.

Syeikh Ghazali berkata,penyerahan beras fidyah ini dilakukan secara berperingkat membabitkan 11 daerah di seluruh negeri dan juga di setiap pejabat zakat daerah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 2:20 PM