MASYARAKAT bebas menilai kemampuan produk MTUN dalam memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara yang disasarkan melalui PPPM (PT). - Gambar hiasan
PELAJAR dilatih dengan pelbagai kemahiran sepanjang tempoh pengajian bagi memastikan mereka memiliki nilai tambah sebelum menamatkan pengajian.
BIDANG TVET dianggap kurang menarik berbanding pendidikan konvensional, namun permintaan terhadap bidang itu sangat tinggi. - Gambar hiasan
USAHA lahir pakar bertaraf profesional bidang teknikal bertaraf global.
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi bertaraf profesional meningkat mendadak berikutan teknologi yang digunakan dalam semua sektor pekerjaan berkembang terlalu pesat.

Ini menyebabkan negara perlu bersedia lebih awal untuk melahirkan tenaga kerja berkenaan agar seimbang dengan kehendak industri, sekali gus dapat mengelak daripada mengimport pakar dari luar negara.

Ia juga antara inti pati utama penubuhan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), iaitu untuk melahirkan pakar bertaraf profesional dalam bidang teknikal dan mampu merentasi kehendak global.

Misi ini juga selaras usaha pemerkasaan bagi melonjakkan institusi pendidikan negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025.

Menerusi 10 lonjakan disasarkan, antara yang diberi penekanan ialah laluan akademik dan Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET) yang disasar mampu menjadi pendidikan arus perdana.

MTUN yang bertaraf universiti awam (UA) dipertanggungjawabkan meningkatkan nilai pendidikan bertahap tinggi, sekali gus melahirkan graduan berkemahiran dan berinovasi.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, MTUN diwujudkan bagi memenuhi keperluan bidang kemahiran teknikal yang semakin kompleks tetapi besar permintaannya.

Menurutnya, kemahiran yang diterapkan menerusi MTUN bertahap tinggi dan profesional dengan pengiktirafan akademik.

“Ini bermakna kemahiran graduan sudah dinilai mengikut piawaian ditetapkan bagi menjadikan mereka berdaya saing dalam memenuhi kehendak industri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun usia penubuhan MTUN belum menghampiri sedekad, kemampuan empat UA yang bernaung di bawahnya tidak boleh dipertikaikan.

Gabungan MTUN ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), UTHM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“MTUN mendukung mandat ke arah pendidikan tinggi berkemahiran, bukannya untuk bersaing antara satu sama lain.

“Jurusan ditawarkan MTUN ada kelebihan masing-masing kerana setiap UA mempunyai kekuatan dalam penawaran jurusan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak masih ada pihak membandingkan kemampuan graduan MTUN dengan universiti lain.

“Itu tidak dapat dinafikan tetapi ia hanya persepsi kerana kualiti graduan MTUN setanding universiti lain,” katanya.

Dr Mohd Noh berkata, perbandingan keterlaluan antara institusi boleh menjejaskan misi itu kerana apa yang diperlukan ialah sokongan bagi menjayakan wawasan berkenaan.

“MTUN sentiasa memastikan setiap kemahiran dikuasai pelajar bukan saja memperoleh pengiktirafan universiti, malah badan profesional sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

“Ia bagi menjadikan pencapaian graduan MTUN setanding institusi lain, selain meyakinkan industri bahawa kemahiran mereka mendapat pengiktirafan badan profesional,” katanya.

Beliau tidak menolak wujud kekeliruan awam mengenai MTUN dan Politeknik Premier.

“Secara dasarnya tiada perbezaan kerana masing-masing mendukung wawasan sama iaitu mahu melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan profesional serta ada nilai kebolehpasaran.

“MTUN dulunya bermula sebagai Kolej Universiti sebelum dinaik taraf menjadi UA, manakala Politeknik Premier pula adalah politeknik yang dinaik taraf sebagai universiti.

“Bidang kemahiran masih menjadi nadi utama bagi kedua-dua institusi ini,” katanya.

Melahirkan graduan berkemahiran antara keutamaan negara masa kini sebagai mekanisme memantapkan sektor pelbagai kerjaya.

Katanya, meskipun industri juga memerlukan kebolehan lain, kemahiran menjadi pemangkin utama yang dikehendaki sebahagian besar majikan.

“Buat masa ini, penawaran pekerja TVET tidak mencukupi dalam 10 daripada 12 sektor Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

“TVET masih dianggap kurang menarik berbanding pendidikan universiti konvensional menyebabkan jumlah pelajar TVET masih rendah terutama yang berkelayakan tinggi,” katanya.

Katanya, kewujudan MTUN mendukung aspirasi negara melahirkan golongan berkemahiran berpendidikan tinggi.

“Cabaran MTUN sangat besar kerana selain mahu mencapai objektifnya, ia juga perlu menyediakan platform mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang kemahiran.

“Ini bukan kemahiran biasa tetapi bersifat profesional dan daya saing tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 5:58 AM