HISHAMMUDDIN (kiri) bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Muhamad Aziz (kanan) membaca surah Yassin. Adnan Ibrahim
Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@metro.com.my


Batu Pahat: Isu ancaman militan Daish antara perkara akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-10 yang akan berlangsung di Laos, minggu ini memandangkan ancaman berkenaan semakin membimbangkan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, setiap negara kini tidak terkecuali dalam berdepan dengan ancaman pengganas terbabit dan Malaysia sendiri memandang serius masalah berkenaan.

"Penangkapan 14 individu di negara ini disyaki kumpulan militan Daish pada Selasa lalu hingga semalam perlu dilihat sebagai ancaman serius yang perlu diperhalusi. Malah jika dulu ancaman militan atau pengganas terhad kepada negara tertentu dan menjadi isu dalaman namun kini ia semakin membimbangkan dan merentas sempadan.

"Oleh itu satu resolusi bersama selain kerjasama yang padu antara negara ASEAN perlu diperbincangkan secara serius bagi menjamin keselamatan rantau ini daripada ancaman keganasan," katanya.

Menurutnya, isu ancaman Daish kini sudah menjadi sebahagian daripada keutamaan Kementerian Pertahanan apabila ia turut membabitkan aspek militan.

"Masalah ini bukan hanya tertumpu dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerana Kementerian Pertahanan juga harus sedia maklum dan perlu memainkan peranan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hol Allahyarham Tun Hussein Onn di Masjid Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 3:43 PM