MAHAMAD (kiri) menanyakan sesuatu di Op Saman Tertunggak Warganegara Asing IV (OSTWA IV). FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkifli
am@hmetro.com.my


Bukit Kayu Hitam: Sebanyak 455,458 saman dan waran tertunggak membabitkan warga asing direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh enam tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, daripada jumlah itu, 364, 473 saman tertunggak direkodkan manakala selebihnya iaitu 90, 985 membabitkan waran tangkap tertunggak.

Beliau berkata, warga Brunei paling ramai mempunyai waran tangkap tertunggak iaitu 77,857 manakala paling banyak saman direkodkan adalah warga Singapura iaitu 173,667.

"Berikutan itu kami mengadakan operasi Ops Saman Tertunggak Warganegara Asing IV (OSTWA IV) bermula Khamis lalu hingga 22 Mei ini yang membabitkan tiga negeri bersempadan Thailand iaitu Perlis, Perak dan Kedah.

"Sebelum ini, operasi sama pernah dilaksanakan dua kali di Johor iaitu OSTWA I (27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015) dan OSTWA II (13 hingga 15 Jun 2015) dan OSTWA III (15 hingga 17 Oktober 2015) di Miri dan Limbang, Sarawak," katanya ketika ditemui menyertai operasi Ops OSTWA IV di sini, pagi tadi.

Mamahad Akhir berkata, operasi itu diadakan bertujuan untuk mengurangkan saman tertunggak dan saman berstatus waran tangkap membabitkan warganeagara asing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 2:56 PM