BALE
Reuters

Madrid: Trio penyerang Real Madrid - Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema perlu meledak gol berganda pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 28 Mei ini ke atas Atletico Madrid untuk mencipta gol ke-100 musim ini buat pertama kali.

Jaringan terbaik dilakukan trio itu yang dikenali sebagai BBC (Bale, Benzema dan Cristiano) adalah sebanyak 97 gol pada musim 2014-15.

Untuk tahun keenam berturut-turut, Ronaldo menjaringkan lebih daripada 50 gol dalam semua kejohanan dengan dua gol ke atas Deportivo La Coruna hujung minggu lalu menjadikan jaringan musim ini bertambah kepada 51.

Bintang Perancis Benzema yang di belakang Ronaldo dengan 28 gol, 24 menerusi La Liga dan empat dalam Liga Juara-Juara manakala Bale menjaringkan 19 gol, kesemuanya di dalam La Liga.

Ini adalah rekod terbaik buat kedua-dua pemain di Real.

Menerusi La Liga sahaja, ketiga-tiga bintang itu menjaringkan sejumlah 78 gol, lebih dua berbanding 2014-15, mengesahkan catatan terbaik sepanjang tiga tahun digandingkan bersama.

Ronaldo menjaringkan 35 daripadanya, kurang 13 daripada musim lalu apabila mendapat anugerah Pichichi sebagai penjaring terbaik di liga utama Sepanyol.

Pengurus Real Zinedine Zidane pernah berkata sejak mengambil alih kelab itu bahawa beliau akan memanfaatkan ketiga-tiga pemain itu sebaik mungkin.

“Saya akan sentiasa menurunkan ketiga-tiga mereka, itulah perancangannya,” katanya Januari lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:05 AM