VESPA S125.
Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Naza Premira Sdn Bhd, pengedar rasmi skuter Vespa di Malaysia, melancarkan model baharu Vespa S125 yang mewarisi genetik Vespa 50 dengan bentuk kecil berbanding rangkaian lain.

Kehadirannya juga memberi pilihan baharu kepada penggemar Vespa tempatan untuk memilikinya bagi memenuhi gaya hidup terutama golongan muda masa kini.

Selain perbezaan bentuk, rangkaian kuasanya lebih kecil dengan kapasiti 124cc yang mampu menghasilkan 11.6hp dan tork setinggi 10.7Nm pada 6,500rpm.

Enjin itu mempunyai kesan negatif dan positifnya yang mana kuasa pecutan antara 0-100 kilometer sejam berkurangan dua peratus, tetapi kelajuan maksimum meningkat sehingga 2.2 peratus.

Skuter dengan kapasiti tangki bahan api berjumlah 8.3 liter memberi jarak tunggangan yang jauh untuk membawa Vespa S125 seberat 167 kilogram.

Ia dipadankan roda berbeza saiz iaitu 11 inci bagi hadapan, manakala belakang menggunakan 10 inci yang masing-masing dilengkapi cakera brek hidraulik serta dram.

Harga yang ditawarkan bermula RM10,988, mung­kin boleh dianggap kompetitif dan berbaloi untuk dimiliki selepas mempunyai karakter unik berbanding skuter lain.

Pada masa sama, ia dilindungi dengan jaminan pengeluar dua tahun, selain Naza Premira menawarkan 70 unit Vespa S125 dengan pelekat edisi terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:01 AM