Wakil agensi Malaysia dan Australia menjalankan proses penggalian dan mengenal pasti identiti jasad di Tanah Perkuburan Komanwel (CWG), Kem Terendak. FOTO Khairunisah Lokman
Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

Melaka: Proses memindahkan dan mengenal pasti jasad 32 tentera Australia dan ahli keluarga mereka untuk dibawa pulang ke negara asal menerusi Operasi Reunites dijangka selesai mengikut jadual pada Selasa ini.

Operasi itu membabitkan proses memindahkan dan mengenal pasti 24 anggota tentera, dua wanitadan enam kanak-kanak iaitu ahli keluarga kepada anggota tentera terbabit yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Perang Komanwel (CWG), Kem Terendak, di sini, antara 1964 hingga 1969.

Fasilitator Operasi Reunites Mejar Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron berkata, proses memindahkan jasad terbabit dari kubur asal sudah selesai dilakukan hari ini.

"Sehingga hari ini, 20 jasad sudah dikenal pasti dan ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Kem Terendak.

"Semua 32 keranda itu akan dibawa ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang 30 Mei ini," katanya.

Difahamkan, semua jasad itu akan diberikan penghormatan tentera di Pangkalan TUDM Subang dan diterbangkan ke Sydney menggunakan dua pesawat pengangkut C-17 Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) pada 31 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 6:44 PM