Siavika maut selepas pacuan empat roda dipandu bapanya terbalik. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Dua maut termasuk budak perempuan berusia enam tahun dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer (KM) 117, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kemasik dan KM 313.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 ( LPT2 ) berhampiran susur masuk Plaza Tol Kerteh, pagi tadi.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 8.30 pagi, Siavika Sai Mahalakshmi, 6, yang belajar di Taska Krista Bandar Kerteh, maut selepas tercampak keluar dari kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu bapanya, Chinmili Vekateswara Rao, 43.

Ketika kejadian, mangsa bersama bapa, ibunya, Telangi Padna Tulasi,40, dan kakaknya, Chinmili Niharika Sulachana, 8, dalam perjalanan menghadiri satu majlis anjuran sebuah taska di Kijal, di sini.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu bapanya dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbalik.

Mangsa yang duduk di bahagian kiri belakang dipercayai tercampak keluar dan meninggal di tempat kejadian akibat parah di kepala sementara tiga ahli keluarganya hanya cedera ringan.

Sementara itu, seorang penumpang van maut manakala lima lagi selamat apabila van dinaiki mereka merempuh lori simen yang rosak di KM 313.6 LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Kerteh, jam 2 pagi.

Mangsa, Mohd Zainizam Zainal ,31, maut apabila van jenis Toyota Hiace dipandu rakannya berusia 31 tahun terbabas sebelum merempuh sebuah lori simen yang rosak di bahu jalan.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur dan mangsa yang duduk di bahagian belakang maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 6:11 PM