Oleh NorhadianiBaharom
yanie@hmetro.com.my


Serentak berlangsungnya Konsert Karnival HM Padat 2014, bakal berlangsung Ahad ini, jam 8.45 malam, di pekara­ngan Stadium Malawati, Shah Alam, sebuah perlawanan ­penting membabitkan pasukan negara yang lebih ­dikenali sebagai Harimau Malaya menentang Vietnam bagi merebut tempat ke final Piala AFF.

Kejohanan sukan berprestij yang diadakan di Stadium Shah Alam, terletak berselebelahan Stadium Malawati itu pastinya dibanjiri ribuan penonton yang meletak harapan besar buat pasukan negara untuk mara ke peringkat akhir.

Tidak melihat perlawanan yang pada awalnya memilih Stadium Bukit Jalil sebagai lokasi sebagai peng­gugat kelancaran Konsert Karnival HM Padat 2014, bahkan mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar berkata, beliau meyakini pengisian Konsert Kar­nival HM Padat 2014 bukan hanya membariskan artis popular tempatan, malah menyediakan persem­bahan hiburan yang unik dan sudah pasti menghiburkan.

"Harian Metro sebagai penganjur tidak melihat perlawanan sukan bola sepak yang membabitkan pasukan Harimau Malaya dan Vietnam itu sebagai penggugat perlaksanaan Konsert Karnival HM Padat 2014.

"Bahkan kami mengalu-alukan penyokong pasukan negara untuk membawa bersama keluarga mereka yang tidak mempunyai tiket menonton perlawanan itu untuk memeriahkan Konsert Karnival HM Padat 2014 yang diadakan secara percuma bagi menghargai pembaca kami.

"Suami menonton bola, isteri dan anak-anak pula berhibur dengan persembahan artis terkenal, sekali gus menjadikan ia aktiviti malam minggu bermanfaat buat keluarga," katanya.

Memanjangkan kenyataannya, Mustapa percaya, Konsert Karnival HM Padat 2014 tidak akan menghampakan pengunjung yang terdiri daripada pembaca Harian Metro dan peminat selebriti tanah air.

"Selain menampilkan kugiran berpengaruh di Indonesia iaitu Nidgi yang bakal menghiburkan pengunjung menerusi tiga buah lagu, kumpulan dan penyanyi solo tempatan yang turut terbabit adalah nama yang dikenali ramai selain hangat di pasaran.

"Mereka adalah kumpulan Hyper Act, Ajai, Hazama, Kaka Azraff, Aweera, Fiq, Asmidar dan bintang Akademi Fantasia 2014 Nuha dan Ewal, pendatang baru Syamin dan semestinya paling dirindui peminat, ratu dangdut Amelina.

"Selepas 15 tahun menghilangkan diri secara mengejut dari dunia nya­nyian di mana Konsert Karnival HM Padat 2014 menjadi pentas persembahan pertamanya untuk mengubati rindu peminat. Apakah Amelina masih sehebat dulu, untuk mengetahuinya kenalah datang beramai-ramai ke konsert ini.

"Selain barisan artis yang membuat persembahan, konsert itu turut menampil­kan penyampai radio Hot FM, AG dan pelakon wanita komedi popular, Jihan Muse sebagai pengacara. Mana­kala aktiviti luar pentas pula memberi kepercayaan kepada Liza yang dicungkil melalui program anjuran kami Projek Metro," katanya.

Pembabitan Amelina yang cukup popular dengan lagu Asyik, Rindu dan Memori Daun Pisang itu di dalam karnival yang berlangsung selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad (6 & 7 Disember) bermula jam 10 pagi, turut dimanfaatkannya untuk beramah mesra dengan peminat melalui segmen 'Meet & Greet', jam 5 petang pada hari yang sama sebelum konsert berlangsung iaitu Ahad.

Tidak bersendirian, Amelina akan ditemani artis naungan Wake The Baby iaitu Syamin, Ajai dan protegenya, Fahmie yang menjadi antara peserta paling popular di dalam program Mentor.

Berkongsi sedikit informasi mengenai Konsert Karnival HM Padat 2014 dikendalikan oleh AG Hot Fm dan pelakon wanita komedi, Jihan Muse, per­sembahan pembukaan yang menyaksikan kolaborasi tiga penyanyi bervokal mantap iaitu Hazama, Aweera dan Fiq, menyanyikan dua lagu dendangan asal penyanyi wanita popular secara medley.

Nyanyian mereka akan diiringi petikan piano tajaan RCD Concepts Sdn Bhd (syarikat pembekal sistem 'total show') yang dimainkan oleh produser dan komposer terkenal, Ajai. Apakah dua lagu itu? Harian Metro selaku penganjur memilih untuk menjadikan ia satu kejutan!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM