myMetro

Kuala Lumpur: Norizman Ismail bukanlah nama asing dalam sukan permotoran negara khususnya di pentas Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan juga siri Kejuaraan Motosikal Asia FIM.

Pelumba berpengalaman dari pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu sudah mencipta pelbagai kejayaan termasuk dua gelaran juara keseluruhan kategori Expert/ CP130 selain turut membantu pasukannya menjulang gelaran pasukan terbaik keseluruhan sepanjang beberapa tahun lalu.

Malah, sehingga ke hari ini Norizman antara pelumba masih setia bersama pasukan yang dikendalikan bekas pelumba handalan, Soong Chee Kieong itu.

Di sebalik kisah kejayaan dan kehandalan di litar, terdapat beberapa sisi menarik buat pelumba kelahiran Selangor yang kini menetap di Sungai Buloh itu.

Sebagaimana trend pelumba, tidak kira di Malaysia atau di peringkat dunia yang mempunyai ‘ikon’ mewakili diri mereka sama ada kartun atau haiwan, Norizman juga tidak terkecuali.

Dia memilih karakter buaya untuk melambangkan dirinya seperti mana yang jelas kelihatan di topi keledar sering dipakainya pada setiap perlumbaan.

Apa ada pada ‘buaya’ yang menjadi pilihan Norizman itu? Menurutnya, buaya melambangkan binatang yang lasak dan boleh menyesuaikan diri di mana saja.

“Sebenarnya ini hanya untuk suka-suka dan tidak membawa maksud tertentu. Dulu saya memilih lambang katak dan kini menggantikannya dengan buaya.

“Kalau melihat karakter buaya itu sendiri, ia binatang yang boleh menyesuaikan diri dengan banyak keadaan. Boleh hidup di darat dan air. Sama juga dengan pelumba. Walaupun sering berlumba di litar kering, ada kalanya kami terpaksa berlumba dalam keadaan basah,” katanya.

Menurutnya, buaya juga mempunyai kulit yang keras dan juga semangat melawan tinggi.

“Sebagai pelumba, saya sendiri perlu ada sifat seperti itu, pantang mengalah dan berjuang sehingga ke garisan penamat.”

Sementara itu, mengulas mengenai kariernya, Norizman berkata, dia sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia perlumbaan.

Justeru, menurutnya, mungkin dalam tempoh dua tiga tahun dia akan bersara namun ketika ini masih bersemangat memasang impian untuk mengejar gelaran ketiga peribadi.

“Selain itu, sebagai persiapan saya juga mempunyai beberapa perancangan sekiranya tidak lagi berlumba. Ketika ini saya mempunyai bengkel motosikal sendiri di Sungai Buloh yang sudah lama diusahakan.

“Mungkin juga saya mengikut jejak rakan-rakan lain seperti Ahmad Fuad Baharudin yang kini mengendalikan pasukan sendiri dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

“Buat masa ini, fokus utama saya adalah untuk mengejar gelaran juara ketiga selain cuba untuk mengejar gelaran juara Underbone 130cc di Kejuaraan Motosikal Asia FIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:04 AM