AYDA XChange topik perbualan pelajar.
PERKONGSIAN mengenai AYDA Xchange (dari kiri) Serina, Edward, Gladys dan Lai ketika sidang media.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Segala idea dan pengalaman dalam industri seni bina dan reka bentuk dalaman dikongsi bersama supaya menjadi inspirasi buat individu yang terbabit.

Matlamat itu jelas dalam Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) XChange.

Ia dianjurkan sempena penjenamaan semula Anugerah Pereka Muda Nippon Paint (NPYDA) menjadi AYDA 2016.

Pertandingan reka bentuk yang terkemuka di Asia itu pada tahun ini membawa tema ‘Be Bold, Be Free, Be You’.

AYDA bakal menjadi pertandingan reka bentuk terkemuka di Asia dan memupuk bakat baru dalam bidang rekaan dalaman dan seni bina untuk pasaran akan datang.

Sejak mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2008, AYDA meluaskan jangkauan ke negara Asia lain termasuk Singapura, Filipina, Bangladesh, Thailand, Pakistan, Indonesia, Papua New Guinea, Vietnam, China, Jepun, Hong Kong, Taiwan, India dan Sri Lanka.

Bertempat di Universiti Taylor’s, Subang Jaya, Selasa lalu, dua individu penting industri dijemput sebagai penceramah.

Serina Hijjas antara tokoh utama dalam seni bina hijau dan pembangunan lestari turut menyampaikan pandangan mengenai keperluan memastikan reka bentuk seimbang.

Antaranya, persekitaran binaan dengan sumber sekeliling yang terhad.

“Kita perlu berusaha melahirkan reka bentuk berani dan menggalakkan kebebasan.

“Namun paling penting reka bentuk yang mencerminkan diri kita dan akhirnya rekaan yang menghargai kepentingan melindungi alam semula jadi,” katanya.

Serina berkata, pemacu utama untuk kemampanan masa depan ialah penyatuan idea individu dengan alam dan teknologi, selain mencari keseimbangannya.

“Evolusi satu proses yang berterusan untuk mana-mana pereka. Setiap pereka perlu ikhlas terhadap segala diusahakan dan yakin dengan kepercayaan serta kemahiran pada diri masing-masing. Ganjarannya pasti menanti,”katanya.

Ketua hakim bagi Kategori Reka Bentuk Dalaman AYDA 2016, Lai Siew Hong pula antara tokoh terkemuka industri rekaan dalaman.

Beliau turut menyentuh mengenai penyelesaian reka bentuk inovatif dan berani bagi perancangan ruang dalaman, selain identiti korporat melalui penerokaan dan memahami sinergi antara idea asal serta kebebasan untuk mencipta.

“Bagi saya, platform seperti AYDA XChange sangat bermanfaat dan perlu untuk membangunkan generasi pereka akan datang.

“Masing-masing memiliki potensi besar. Ia menerusi tawaran peluang sesuai, belajar kemahiran baru, menyesuaikan reka bentuk dan menakluki industri dengan bakat yang ada.

“Saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada AYDA 2016 dalam usaha memberi sumbangan untuk kemajuan bakat muda,” katanya.

Alumni AYDA turut dijemput menjadi sebahagian daripada panel perbincangan.

Ia untuk berkongsi perjalanan mereka dalam industri reka bentuk selepas tamat pengajian.

Tujuannya untuk memberi inspirasi kepada pereka muda bersikap lebih berani dan pada masa sama berpegang teguh kepada prinsip serta kepercayaan yang menjadi sebahagian daripada rasional reka bentuk mereka.

Turut hadir, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Gladys Goh dan Pengarah Urusan IJM Land Berhad (IJM Land), Edward Chong.

Lebih membanggakan, AYDA turut menerima sokongan daripada pelbagai persatuan industri dan rakan seperti Persatuan Arkitek Malaysia (PAM), Pertubuhan Indeks Bangunan Hijau (GBI), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:00 AM