Laluan penerbangan pesawat EgyptAir. - Agensi
Petikan video daripada Kementerian Pertahanan Mesir yang dirakam dari atas pesawat tentera udara Mesir menunjukkan usaha mencari di Laut Mediterranean. - Foto AP
AFP

Kaherah: Tentera Mesir hari ini, menemui serpihan pesawat EgyptAir yang terhempas ke dalam Laut Mediterranean, termasuk barangan penumpang dan komponen pesawat berkenaan kira-kira 290 kilometer di utara bandar raya Iskandariah.

Pencarian menggunakan pesawat serta kapal tentera laut Mesir dan Greece. Pasukan Perancis juga dijangka menyertai gerakan mencari dengan Amerika Syarikat menghantar pesawat peninjau.

Pesawat Airbus A320 itu membawa 56 penumpang dan anak kapal iaitu 15 rakyat Perancis, 30 Mesir, dua Iraq serta masing-masing seorang dari Algeria, Belgium, Chad, Portugal, Arab Saudi, Sudan serta seorang budak lelaki dan dua bayi. Ia membawa 10 anak kapal dan tiga anggota keselamatan.

Ia terbang pada ketinggian 11,277 meter sebelum berpusing-pusing di ruang udara Mesir dan menjunam ke paras 3,048 meter sebelum hilang dari radar antara Pulau Karpathos dan pantai Mesir, ketika dalam penerbangan dari Paris ke Kaherah awal pagi semalam.

Pesawat itu dikeluarkan pada 2003 dan menurut Airbus ia sudah melakukan 48,000 jam penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 7:13 PM