Mohd Sakri (tengah) menunjukkan rampasan kad kredit palsu dalam serbuan Selasa lalu. FOTO Na'imah Mohamed
Na'imah Mohamed
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Tiga sindiket penipuan membabitkan kes pecah amanah, kad kredit palsu dan pelaburan Forex ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor kelmarin.

Ia susulan penahanan 16 individu dipercayai dalang dan pelaku kes itu dari Isnin hingga Khamis lalu di sekitar negeri ini.

Ketua JSJK Selangor Asisten Komisioner Mohd Sakri Ariffin berkata, dalam tangkapan pertama membabitkan kes pecah amanah seorang pegawai bank pada 16 Mei lalu, lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai menipu kira-kira RM5.4 juta wang yang dilaburkan 32 pelabur sejak 2014.

"Suspek kemudian melarikan diri ke Chiang Mai, Thailand dan bersembunyi selama setahun sebelum pulang ke tanah air dan ditahan ketika menginap di sebuah hotel di Cheras, kira-kira 6 petang, Isnin lalu.

"Suspek ditahan reman sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, lima suspek termasuk dalang berusia 28 hingga 40 tahun ditahan membabitkan penipuan pelaburan Forex dengan kerugian dianggarkan lebih RM5 juta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 18 Mei lalu.

Mohd Sakri berkata, dalang yang dikenali sebagai 'Money King' terbabit menggunakan laman web www.nexusfx.com dan www.mymoorescapital.com untuk memperdaya pelabur yang masing-masing membuat pelaburan minima sebanyak USD 1,000.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana memperdaya mangsa menyertai program pelaburan Forex yang tidak wujud.

"Kita minta mangsa yang pernah melabur menerusi syarikat yang menggunakan nama Real Biz Network dan Matrix Galaxy tampil membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, pada Selasa lalu, 10 individu dipercayai keldai dan ejen kad kredit palsu ditahan polis dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor.

Polis turut merampas 117 kad kredit palsu bersama 10 suspek termasuk empat wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan (KK), " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 4:47 PM