Azmi diiringi polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan 96 pecah amanah di Kompleks Mahkamah Melaka. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Bekas pengurus hotel di bandar ini berdepan 96 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, membabitkan kesalahan pecah amanah sepanjang tahun lalu.

Tertuduh Azmi Jaffar, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang kutipan harian milik Hotel City Park Melaka sepanjang 7 Mac hingga 1 Ogos 2015 berjumlah RM54,594.10.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi mencadangkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Bela Mohan Singh merayu anak guamnya dibenar jaminan rendah kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norma menawarkan tertuduh jaminan RM20,000 dengan dua penjamin serta menetapkan 21 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 3:12 PM