ANGGOTA keluarga penumpang pesawat yang dipercayai terhempas di Laut Meditteranean berpelukan ketika menanti berita di Lapangan Terbang Kaherah.
Agensi

Kaherah: Sebuah pesawat syarikat penerbangan EgyptAir yang membawa 66 penumpang dan anak kapal hilang dari radar di ruang udara Laut Meditteranean ketika dalam penerbangan dari Paris ke ibu negara Mesir ini, awal pagi semalam.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengesahkan, pesawat Airbus A320 itu ‘jatuh dan hilang.’

Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail mengumumkan, gerakan mencari pesawat itu dilancarkan, tetapi terlalu awal untuk menolak semua kemungkinan, termasuk serangan seperti yang didakwa berlaku ke atas sebuah pesawat Russia di Semenanjung Sinai, Mesir, tahun lalu.

Pegawai EgyptAir dan Jabatan Penerbangan Awam Mesir berkata, mereka percaya Airbus itu terhempas di Laut Meditteranean antara Greece dan Mesir.

Di Athens, Menteri Pertahanan Greece Panos Kammenos berkata, pesawat itu membuat lencongan di udara sebelum hilang dari radar.

Greece mengerahkan pesawat dan sebuah kapal tentera ke kawasan itu untuk membantu operasi mencari.

Sumber kementerian Greece juga berkata, pihak berkuasa menyiasat laporan seorang kapten kapal dagang yang mendakwa melihat ‘bebola api di langit’ kira-kira 208 kilometer nautika ke selatan pulau Karpathos, Greece.

Menurut ketua Jabatan Penerbangan Awam Greece, panggilan daripada pengawal trafik udara negara itu tidak dijawab pesawat berkenaan sebelum ia meninggalkan ruang udara Greece dan hilang dari skrin radar tidak lama kemudian.

Menjelang petang, gerakan mencari tidak menghasilkan apa-apa.

“Tidak ada apa yang ditemui setakat ini,” kata pegawai pengawal pantai Greece.

Tidak ada kenyataan rasmi mengenai sama ada kehilangan itu berpunca daripada masalah teknikal atau alasan lain, termasuk sabotaj oleh kumpulan pelampau yang sering menyasarkan lapangan terbang, syarikat penerbangan dan kawasan tumpuan pelancong di Eropah, Mesir, Tunisia dan negara Asia Barat lain sejak beberapa tahun lalu.

Pesawat itu membawa 56 penumpang, termasuk seorang kanak-kanak dan dua bayi serta 10 kakitangan.

Menurut EgyptAir, penumpang itu terdiri daripada 30 warga Mesir, 15 rakyat Perancis dan setiap satu dari 10 negara berlainan.

Ketika ditanya sama ada keganasan mungkin menjadi punca, Sherif memberitahu wartawan: “Kita tidak menolak atau mengesahkan semua kemungkinan ketika ini. Operasi mencari perlu dilakukan untuk membolehkan kita mengetahui puncanya.”

Di Paris, Hollande berkata, punca kehilangan atau nahas itu masih belum diketahui.

“Maklumat yang kami terima mengesahkan pesawat itu jatuh dan hilang. Tiada andaian yang boleh disahkan atau ditolak setakat ini,” kata Presiden Perancis itu.

Mesir secara tradisinya ialah destinasi popular dalam kalangan pelancong Barat. Bagaimanapun, industri itu terjejas teruk selepas sebuah pesawat Metrojet Russia terhempas Oktober lalu, menyebabkan semua 224 orang di dalamnya terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:30 AM