Kuala Lumpur: Penerjun negara Ahmad Amsyar Azman (gambar) berpeluang cerah beraksi di temasya Olimpik Rio selepas Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berkemungkinan menyenaraikannya beraksi sama ada dalam acara 3m papan anjal atau 10m platform.

Biarpun gagal menempatkan secara merit ke temasya terbesar itu, slot yang diperoleh seorang lagi penerjun negara Ooi Tze Liang memungkinkan Amsyar beraksi.

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat ASUM Mae Chen berkata, keputusan untuk menyenaraikan Amsyar terletak di tangan ketua jurulatih Yang Zhuliang.

“Amsyar berpotensi cerah untuk disenaraikan dan beraksi. Namun, ASUM perlu menunggu keputusan Zhuliang.

“Keputusan itu akan diputuskan sebelum senarai akhir dihantar kepada FINA pada 15 Jun dan Amsyar berpeluang cerah untuk disenaraikan,” katanya yang memaklumkan barisan skuad terjun negara kini menjalani latihan pusat di China.

Skuad terjun negara akan dibarisi lima penerjun yang akan beraksi dalam tujuh acara di Olimpik Rio nanti. Mereka yang sudah mengesahkan tempat membabitkan Pandelela Rinong (10m platform individu, 10m terjun seirama), Wendy Ng (3m papan anjal individu), Nur Dhabitah Sabri (10m platform individu, 3m terjun seirama), Cheong Jun Hoong (10m terjun seirama, 3m terjun seirama) dan Tze Liang (10m platform dan 3m papan anjal individu).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:03 AM