Neelofa sasar umur 29-30 untuk mendirikan rumah tangga. PIX NSTP MAHZIR MAT ISA
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara jelita Neelofa akan mendedahkan kisah cintanya yang selama ini tidak diketahui ramai dalam video sempena Kempen Allah Lebih Tahu Naelofar Raya 2016.

Ia akan ditayangkan dalam majlis pelancaran Naelofar Raya 2016 yang akan berlangsung di sebuah hotel di sini, Isnin ini.

Neelofa, 27, berkata, dia memilih untuk berkongsi kisah cinta termasuk soal jodoh dalam video kempennya itu kerana ramai peminat yang tidak tahu sisi peribadinya itu.

"Selain kempen Ramadan dan Aidilfitri, video eksklusif itu turut memaparkan soal jodoh dan keinsafan pada bulan yang mulia ini. Ramai yang tahu kisah cinta saya tetapi mereka tidak tahu siapakah insan istimewa yang dimaksudkan itu.

"Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut jangan lupa muat naik video kempen terbaru ini di YouTube," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jodoh, Neelofa berkata, dia mensasarkan usia 29 hingga 30 tahun untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya akan lebih fokus dengan soal jodoh apabila mencecah usia itu nanti. Buat masa ini, saya belum memiliki calon yang sesuai lagi," katanya.

Ditanya sejauh mana hubungannya dengan Datuk Hans Isaac pula, kata Neelofa, mereka masih berkawan baik hingga sekarang.

"Saya selesa berkawan dengannya dan hubungan kami juga makin matang berbanding dulu.

"Kali terakhir kami berjumpa ketika pementasan Lawak Ke Der 2016 yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 10:01 PM