PLASTIK lutsinar disyaki mengandungi heroin yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Pemungut kelapa sawit ditahan polis disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sebelum dadah dianggar bernilai RM12,493 dirampas di Jalan Gelang Patah-Ulu Pulai, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.40 pagi, suspek lelaki berusia 37 tahun yang menunggang motosikal itu ditahan dalam sekatan jalan raya di lokasi berkenaan selepas dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, anggota polis dari Balai Polis Gelang Patah yang mengadakan sekatan jalan raya itu kemudian membawa suspek serta motosikal terbabit ke balai polis untuk pemeriksaan lanjut.

"Ketika di balai polis, pemeriksaan dilakukan pada tubuh badan suspek dan beg hitam yang disandang suspek.

"Dalam beg terbabit, terdapat satu plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki heroin dan dua plastik lutsinar mengandungi ketulan serbuk putih disyaki syabu.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek yang berasal dari Pekan Nenas, Pontian, positif dadah," katanya.

Menurut Noor Hashim, dadah disyaki syabu dengan berat kasar 51.45 gram dan heroin seberat 453.8 gram itu dianggarkan bernilai RM12,493.

Selain dadah, beliau berkata, turut dirampas dua telefon bimbit dan motosikal yang digunakan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:17 PM