Yunus didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memuat naik lukisan lucah di laman web miliknya pada Ogos tahun lalu. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my


Sepang: Seorang pereka grafik didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memuat naik lukisan lucah di laman web miliknya pada Ogos tahun lalu.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin, turut memerintah tertuduh Yunus Hasyim Yaakub, 29, untuk menjalani hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Yunus yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta didakwa memuat naik lukisan lucah untuk tujuan perniagaan menerusi laman webnya.

Dia menjalankan perniagaan dalam talian itu di kediamannya yang beralamat di No.8, Jalan SS18/C, Subang Jaya pada jam 11.07 pagi, 13 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:09 PM