PENGGEMAR permainan jet ski memenuhi Tasik Biru Kundang.
PENGUNJUNG memancing di Tasik Biru Kundang.
SEKITAR pesisir Tasik Biru Kundang.
Rosyahaida Abdullah
rencana@hmetro.com.my


Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Perdana antara lokasi yang menjadi tumpuan warga ibu kota untuk bersantai bersama keluarga dan rakan pada hujung minggu.

Menjadi perkara biasa melihat kedua-dua lokasi ini dipenuhi pengunjung yang bukan saja bersantai, malah tidak kurang yang bersenam, berjoging, bermain kasut roda, bermain kereta kawalan jauh, bermain badminton dan sebagainya.

Dengan populariti dua kawasan ini yang turut dikunjungi pelancong asing, tidak hairanlah jika ia sering kali sesak khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

Oleh itu, jika inginkan kelainan suasana dan persekitaran, Tasik Biru Kundang antara lokasi yang mungkin boleh dipertimbangkan bagi menikmati riadah di pinggir ibu negara yang tentunya tidak mengecewakan.

Namanya Tasik Biru Kundang, namun jangan pula disangka airnya berwarna biru. Warna itu hanya bertahan dari 1950-an hingga 1960-an, namun kini sudah bertukar hijau disebabkan tumbuhan alga yang memenuhi dasar tasik.

Tasik berkedalaman sehingga enam meter di daerah Gombak ini tidaklah semeriah kedua-dua taman tasik utama di ibu kota, namun cukup popular bagi kalangan penggemar jet ski.

Kunjungan pada hujung minggu lalu membuktikannya apabila ia dipenuhi pemilik jet ski yang membawa kenderaan air itu dari tempat masing-masing semata-mata untuk bebas menunggang di Tasik Biru Kundang.

Aktiviti ini sangat mengujakan pengunjung lain berikutan mereka tidak perlu ke pantai ternama semata-mata untuk menyaksikannya.

Berbanding beberapa tahun lalu, kini Tasik Biru Kundang turut menawarkan pelbagai aktiviti lain, antaranya memancing, berenang dan berkelah yang cukup meriah pada hujung minggu.

Ada pengunjung berkenu ke pulau kecil di tengah tasik itu untuk berkelah. Mereka akan bersama-sama membersihkan semula pulau berkenaan sebelum pulang.

Sambil bersantai di wakaf dan pondok disediakan, ibu bapa juga boleh memantau anak masing-masing bermain di dua taman permainan yang tersedia di pinggir tasik.

Kewujudan Restoran Anjung d’ Tasik Biru pula memudahkan orang ramai menikmati juadah bersama keluarga usai beraktiviti, malah ia juga menjadi lokasi penganjuran majlis tertentu seperti makan malam untuk syarikat dan sebagainya.

Pilihan lain untuk makan ialah ‘char kuetiau tsunami’ yang kini hangat diperkatakan disebabkan makanan laut seperti ketam dan udang begitu banyak diletakkan dalam hidangan untuk pelanggan dengan rasanya yang tidak perlu dikhuatiri.

Menerusi pelbagai kemudahan lain yang sedang dibangunkan pihak berkuasa tempatan khasnya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ketika ini, Tasik Biru Kundang lokasi sesuai untuk mengisi masa lapang warga kota.

Untuk ke sana, pengunjung boleh masuk susur keluar tol Sungai Buloh dan menuju ke arah Kuala Selangor sebelum menuruti jejantas ke kanan di pasar raya The Store Sungai Buloh. Menjelang simpang terakhir, belok ke kiri dan pengunjung akan menjumpai Tasik Biru Kundang sebaik melepasi satu persimpangan empat lampu isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:29 PM