SEKUMPULAN penduduk menyertai kelas Yoga di Bryant Park, New York, semalam.
AFP

New Delhi: Beberapa pertubuhan Islam semalam menyelar arahan kerajaan India supaya peserta Hari Yoga Antarabangsa mengucap ‘om’ kerana menganggap ia satu penindasan terhadap penganut Islam.

Sesi yoga besar-besaran itu yang bakal diadakan Jun depan untuk tahun kedua berturut-turut adalah daya usaha Perdana Menteri Narendra Modi untuk menghidupkan semula amalan itu sebagai sebahagian daripada warisan budaya India.

Menurut nota dikeluarkan kementerian Ayush yang mempromosikan yoga dan disiarkan televisyen tempatan: “Amalan yoga akan dimulakan dengan doa untuk meningkatkan ‘manfaatnya.’”

Sehubungan itu, kementerian berkenaan berkata, peserta mesti mengucap ‘om’ dan tasbih veda pada awal dan akhir acara selama 45 minit itu, 21 Jun ini.

Pengumuman itu membangkitkan kemarahan pertubuhan Islam kerana ia bertentangan dengan ajaran agama itu.

Mereka menuduh parti pemerintah Bharatiya Janata cuba menanam agenda pelampau Hindu.

Anggota Lembaga Undang-Undang Peribadi Muslim Seluruh India, Zafaryab Jilani berkata: “Kami tidak menentang yoga, tetapi India negara sekular dan tiada agama rasmi. Jika mereka mahu memaksa kami mengamalkan sesuatu yang menjadi amalan Hindu, ia melanggar perlembagaan.”

Kerajaan turut mengundang kontroversi tahun lalu apabila menjadikan gaya ‘surya namaskar’ dalam yoga sebahagian daripada acara itu.

Pertubuhan Islam menganggap beberapa gaya dan ucapan dalam yoga berkait rapat dengan agama Hindu dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Seorang ulama, Khalid Rashid Firangi Mahali berkata: “Mereka berulang kali cuba menyemaikan agenda Hindu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 10:26 AM