Ibrahim (kiri) memperkenalkan rangkaian reneh sos Asian Creations baharu iaitu Indonesian Rendang, Malaysian Nyonya, Thai Sweet Sour, Thai Green Curry dan Thai Chili & Basil.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Bangi: Brahim’s Dewina Group, pemilik jenama Brahim’s yakin bahawa perniagaan eksportnya akan meningkat sehingga 60 peratus selepas Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) dilaksanakan sepenuhnya.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Nur Fatin Ibrahim berkata, perjanjian berkenaan dapat membantu mengurangkan bebanan cukai yang ditanggung yang seterusnya membantu syarikat menawarkan produk pada harga lebih kompetitif.

“Jenama Brahim’s berjaya menembusi pasaran Jepun, namun bagi produk membabitkan beras, mereka lebih tegas dan teliti memandangkan mereka mempunyai beras keluaran sendiri.

“Maka untuk produk berasaskan beras dibawa masuk ke pasaran Jepun, ia memerlukan kami menjalani dua kali pemeriksaan yang mana menyebabkan kami dikenakan cukai berganda dan menyebabkan harga produk Brahim’s yang ditawarkan ketika ini mahal,” katanya selepas majlis pelancaran produk terbaru Brahim’s di sini, semalam.

Lima produk baharu itu adalah Indonesian Rendang, Malaysian Nyonya, Thai Sweet Sauce Sour, Thai Green Curry dan Thai Chilli & Basil. Didatangkan dalam pek 300 gram, produk berkenaan mula berada di pasaran penghujung bulan ini pada harga RM8.40.

Menurutnya, dengan pelaksanaan TPPA secara
100 peratus dalam tempoh
beberapa tahun, ia akan membantu dari aspek percukaian dan mengurangkan kos keseluruhan yang perlu ditanggung.

Di Jepun, Brahim’s turut menguruskan tiga restoran yang mana kini giat berdepan persiapan menjelang Sukan Olimpik 2020.

“Kami membantu rakan perniagaan di Jepun untuk lebih memahami berkaitan produk halal dan dalam masa sama mempromosikan produk yang kami hasilkan termasuk hidangan sedia dimakan dan kuah,” katanya.

Nur Fatin berkata, selain Jepun, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada pasaran Australia tahun ini selepas menembusi pasaran negara berkenaan.

“Buat masa ini, produk Brahim’s boleh didapati di Perth melalui beberapa pasar raya sekitar bandar berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:05 AM