BERNAMA

SOCHI (Russia): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di bandaraya peranginan Sochi di Black Sea Rusia pada Rabu untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia selepas menamatkan lawatan kerja bagi menarik pelaburan dan perdagangan di United Kingdom.

Diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, pesawat khas yang membawa Najib dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi pada 5.30 petang (10.30 malam waktu Malaysia) sebelum mereka menuju ke Radisson Blu Paradise Resort & Spa di mana perdana menteri akan menginap semasa di Sochi.

Sidang kemuncak dua hari itu bermula Khamis diadakan bagi memperingati 20 tahun hubungan dialog ASEAN-Russia.

Sidang kemuncak itu juga menjadi platform bagi para pemimpin negara-negara anggota ASEAN dan Rusia merancang hala tuju masa depan ikatan persahabatan itu.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pada sidang kemuncak itu, pemimpin-pemimpin berkenaan dijangka meluluskan Deklarasi Sochi berjudul 'Bergerak Menuju Persahabatan Strategik untuk Faedah Bersama'.

Ketika di sini, Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin membincangkan isu-isu kepentingan bersama. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 1:37 AM
SOCHI, 18 Mei -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencuba roti dan garam yang menjadi satu tradisi sambutan tetamu kehormat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sochi pada 5.30 petang (Waktu Malaysia 10.30 malam).Perdana Menteri tiba di bandaraya peranginan Sochi di Black Sea Rusia pada Rabu untuk menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang diadakan selama dua hari bagi memperingati 20 tahun hubungan dialog ASEAN-Rusia.-- fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA