WAN Abdul Bari (dua kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan di Pejabat Daerah Semporna. FOTO ihsan ESSCOM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Semporna: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurus dan memantau perairan 11 pulau dan dua terumbu karang yang diwartakan sebagai kawasan larangan di dalam Kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE).

Pulau terbabit termasuklah Pulau Sibuan, Mantabuan, Selakan, Gaya, Bohey Dulang, Kulapuan, Maiga, Sebangkat, Tetangan, Bohayen, Timba-Timba, Terumbu Sibangkat dan Terumbu Batura serta perairan sekitarnya.

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Wahid berkata, kewujudan SOP itu adalah untuk menyelaras dan menyeragamkan peraturan yang dikuatkuasakan pelbagai agensi penguatkuasa di kawasan larangan terbabit.

"Pewartaan pulau ini bertujuan bagi memudahkan pasukan keselamatan memantau dan mengawal pergerakan bot atau individu yang berada di kawasan berkenaan.

"Kawasan yang dicadang ini adalah disyaki menjadi laluan utama penjenayah rentas sempadan untuk masuk ke perairan daerah semporna dan melakukan jenayah culik serta rompakan di laut," katanya ketika berucap ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Pemantauan Kawasan Larangan, di Pejabat Daerah Semporna, hari ini.‎

Sehubungan itu, Wan Abdul Bari berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk menguatkuasakan peraturan terbabit.

"Selain untuk meningkatkan tahap keselamatan, ia juga bertujuan melindungi kawasan berkenaan daripada aktiviti seperti pengeboman ikan yang boleh merosakkan habitat dan ekosistem termasuk terumbu karang serta hidupan laut lain yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan biodiversiti kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 7:19 PM