Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Manjung: Kontraktor paip ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam di rumahnya di Taman Matahari, Ayer Tawar dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mangsa yang dikenali sebagai Jaganathan, 42, ditemui mati oleh isterinya kira-kira 8 pagi tadi sebaik sahaja selesai menghantar anak perempuannya berusia sembilan tahun ke sekolah.

Katanya, siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur-unsur rompakan dan hanya terdapat sedikit kesan umpilan di bahagian pintu belakang rumah.

"Kesan darah yang terpercik sekitar ruang tamu rumah menampakkan berlaku unsur pergelutan namun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada berlaku pergelutan atau sebaliknya.

"Sebarang senjata juga tidak ditemui dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Zailan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 5:16 PM