Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Ampang: Blogger sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memuat naik gambar palsu membabitkan Perdana Menteri di Facebook miliknya di Pangsapuri Ampang Mewah, di sini, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Muhaimin Mohd Muhayedin, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Abdul Muhaimin yang memakai baju kemeja dan berseluar putih itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui Facebook 'Adam Mukhriz Muhayeddin'secara sedar untuk menyakitkan hati orang lain dan dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau keduanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 2:08 PM