UBAT gigi organik untuk kanak-kanak.
NURUL, Jezamine dan Harith memeriahkan majlis.
PETUGAS memberi penerangan mengenai ubat gigi organik untuk kanak-kanak kepada seorang ibu.
DR LOW (dari kiri), Soo, Jezamine, Zander, Harith, Siew Peng, Nurul dan Zachary pada pelancaran produk Buds Oralcare Organics.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Penjagaan gigi susu tidak boleh dipandang ringan dan perlu dititikberatkan memandangkan ia adalah asas kepada kesihatan mulut dan gigi kekal sebaik kanak-kanak menginjak ke usia remaja dan memasuki alam dewasa.

Sekiranya tabiat penjagaan gigi yang baik tidak dipupuk sejak anak kecil iaitu ketika hanya memiliki beberapa gigi susu, ia akan memberi impak besar terhadap pembentukan gigi kekal yang sihat dan bebas sebarang masalah.

Dalam memastikan perkara itu dapat dipraktikkan, ibu bapa insan paling rapat yang perlu mendidik dan menjadikan ia sebagai gaya hidup sihat untuk anak mereka.

Kanak-kanak memiliki 20 gigi dan apabila rahang semakin membesar seiring usia hingga dewasa, bilangan gigi bertambah antara 28 hingga 32 gigi.

Menurut pakar pergigian, Dr Bernard Low, kebanyakan ibu bapa menunjukkan keprihatinan apabila membabitkan kesihatan gigi anak mereka terutama apabila ia tumbuh, longgar ataupun patah.

Katanya, kebiasaannya gigi susu mula keluar pada usia antara lapan bulan dan ia akan patah dan digantikan dengan gigi kekal bermula ketika anak sekitar usia lima tahun.

“Dua gigi depan di bahagian bawah yang pertama selalunya digantikan dengan gigi kekal pada usia lima tahun dan gigi geraham kekal yang terakhir tumbuh iaitu sekitar usia anak antara sembilan hingga 12 tahun.

“Gigi susu berada lama dalam mulut iaitu sehingga anak darjah enam. Oleh itu, amat penting memastikan ia dalam keadaan sihat dan tidak rosak supaya anak boleh menggunakannya dan mereka tidak kesakitan.

“Ibu bapa perlu mendidik anak menjaga sebaik mungkin gigi mereka dan mengelak tiga masalah utama yang sering dihadapi kanak-kanak iaitu gigi reput, masalah gusi dan gigi tidak tersusun elok,” katanya.

Punca nafas berbau

Menurut Low, masalah gigi berlubang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak apabila mereka mengambil terlalu banyak makanan bergula dan karbohidrat tetapi tidak menggosok gigi.

Katanya, gula dalam makanan membentuk bakteria dalam mulut dan mereputkan gigi secara perlahan-lahan sekiranya tiada tindakan diambil bagi memastikan kebersihan gigi dan mulut.

“Ini kerana enamel gigi kanak-kanak lebih nipis berbanding orang dewasa dan mudah rosak akibat bakteria. Apabila ini berlaku, anak akan mengalami kesakitan gigi sekiranya kerosakan sampai ke akar.

“Kira-kira 40 peratus kanak-kanak di negara ini menghadapi masalah gigi berlubang. Ia menjadi masalah apabila kanak-kanak kesakitan, tidak dapat makan dan sukar tidur.

“Sekiranya anak-anak mengalami masalah gigi sejak kecil, biasanya ia akan terus berlanjutan sehingga mereka memiliki gigi kekal, antaranya kerana mereka mengalami masalah radang gusi dan sering berdarah setiap kali memberus gigi,” katanya.

Selain itu, kanak-kanak yang mengalami masalah gigi juga akan membuatkan mereka berkeyakinan rendah kerana memiliki nafas yang berbau tetapi ia boleh diselesaikan dengan mudah iaitu mulakan regim penjagaan gigi yang baik dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu ketika bangun pagi dan sebelum tidur.

Amalan sejak kecil

Dr Low berkata, amalan penjagaan gigi yang baik sejak kecil diterapkan ibu bapa akan menjadikan ia sebagai tabiat dalam diri anak-anak dan ia akan dilakukan dengan sendiri tanpa perlu dipaksa.

Bagaimanapun, bagi gigi tidak tersusun, katanya, ia hanya boleh dibetulkan selepas semua gigi tumbuh dan sebaiknya pada usia remaja.

“Selain memupuk penjagaan gigi yang baik, ibu bapa juga perlu mengawal pengambilan gula dan karbohidrat ringkas dalam diet anak-anak serta memupuk disiplin demi memastikan gigi anak-anak tidak terjejas.

“Pada masa sama, pemilihan ubat gigi juga penting. Bagi kanak-kanak bawah usia dua tahun, mereka digalak menggunakan ubat gigi tanpa fluorida bagi memastikan ubat gigi tidak ditelan.

“Ini kerana biarpun fluorida bagus untuk menguatkan gigi, kanak-kanak kecil belum pandai meludah dengan betul dan jika mereka menelannya dalam jumlah banyak, ia boleh menyebabkan masalah fluorosis,” katanya.

Fluorosis ialah permukaan gigi yang tidak rata dan warna tidak sekata dan bertompok terdiri warna putih, kuning, coklat atau lebih gelap.

Biarpun ia tidak melemahkan gigi tetapi ia merosakkan penampilan gigi dan membuatkan mereka yang memilikinya berasa rendah diri.

Sementara itu, kanak-kanak lebih daripada usia dua tahun digalakkan memberus gigi mereka dengan ubat gigi berfluorida untuk memastikan gigi yang kuat.

Menurut Dr Low, ibu bapa juga digalakkan membawa anak mereka bertemu doktor gigi setiap tahun bermula dari usia anak setahun untuk mengelak mereka berasa takut apabila gigi mula sakit dan perlu bertemu doktor.

“Ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak itu untuk mengetahui cara betul menjaga gigi dan sekiranya ada masalah, ia dapat dirawat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ubat gigi organik, Buds Oralcare Organics bagi memberikan ibu bapa alternatif selamat lagi berkesan bagi ubat gigi kanak-kanak.

Rangkaian ubat gigi itu bebas daripada bahan pengawet, lembut, selamat dan berkesan untuk bayi sedang tumbuh gigi dan kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun kerana ia bebas sodium lauril sulfat, pemanis tiruan, perisa tiruan, pewarna, pengawet dan sebarang bahan berbahaya.

Bukan saja diperkuat dengan xilitol dan fluorida, rangkaian ubat gigi itu juga diperkaya dengan bahan aktif aloe vera dan asid fitik yang digabungkan dengan xilitol dan fluorida semula jadi dalam penjagaan mulut.

Turut hadir pada majlis itu Pengasas Bersama dan Pengarah R&D I-Green (M) Sdn Bhd, KK Soo, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan I-Green (M) Sdn Bhd, Soo Siew Peng, selebriti Harith Iskander dan isteri, Dr Jezamine Lim Iskander dan anak mereka, Zander Xayne Iskander serta Nurul Wahab dan anaknya, Zachary Depp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:24 PM