Mohd Zakaria menunjukkan gambar pistol automatik dan peluru serta beberapa jenis dadah dan wang tunai yang dapat dirampas dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Pelangi Indah pada sidang akhbar di IPK, Johor . FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sindiket pengedaran dadah ditumpaskan Polis Johor hasil penahanan dua lelaki dan seorang wanita membabitkan rampasan dadah RM221,000 dalam rumah di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, malam kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira 9 malam itu, selain merampas 5.022 kilogram ketamin, 800 biji pil eramin 5 dan 350.7 gram ekstasi, turut dirampas sepucuk pistol serta 27 butir peluru.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek itu berusia 41, 42 dan 22 tahun.

Katanya, semua dadah serta senjata api itu ditemui disembunyikan dalam tong gas.

"Kita turut merampas wang tunai RM21,933, wang tunai Singapore Dolar 1,220, seutas rantai emas dan tiga kenderaan iaitu Toyota Estima, Nissan Cefiro dan Honda Jazz.

"Seorang daripada suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan awal air kencing dan kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mana-mana rangkaian pengedaran dadah membabitkan sindiket ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:17 PM