Tengku Azlan (dua dari kanan) ketika merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan THES Wellness di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS), memperuntukkan dana RM40 juta bagi membantu usahawan kecil di bawah program Transformasi dalam Perniagaan (BIT) tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, menerusi dana itu pihaknya menawarkan pembiayaan antara RM25,000 hingga RM50,000 bagi pra-francaisi.

Katanya, sehingga kini PNS melahirkan lebih 900 pra-francaisi dan 62 pra-francaisor di bawah program BIT.

“Setiap tahun, kami menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 50 usahawan kecil menerusi BIT, namun paling utama adalah kualiti yang mana BIT dapat membantu usahawan menjana pendapatan lebih tinggi.

“Menerusi BIT juga membolehkan usahawan untuk mengembangkan perniagaan dengan menawarkan peluang kepada orang lain,” katanya selepas majlis pelancaran Thes Wellness Sdn Bhd di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH), Tan Sri Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, dan Pengarah Thes Wellnes, Hasidi Hassan.

Thes Wellness usahasama dibangunkan antara orang buta dan THONEH yang menawarkan perkhidmatan rawatan urut terapi oleh warga buta secara khususnya.

Syed Kamarulzaman berkata, PNS akan menawarkan khidmat konsultansi serta bantuan kewangan untuk membina rangkaian perniagaan Thes Wellness secara francais.

“Kami mahu mereka juga menjadi usahawan dan selain bantuan kewangan, PNS bersedia memberi tunjuk ajar terutama daripada segi operasi serta lokasi kedai yang sesuai untuk membuka cawangan Thes Wellness,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tahun ini juga PNS berjaya melahirkan lima syarikat di bawah BIT menjadi francaisor melalui program terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 6:58 AM