AHMAD Bashah (kiri) membantu menenangkan mangsa kemalangan. Foto ihsan Pejabat Menteri Besar
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


Alor Setar: Lelaki dan wanita cedera selepas tersepit di dalam Perodua Kelisa yang terbabit kemalangan dengan Proton Saga di Kampung Naga, Lubok Kawah, di Jitra, dekat sini.

Malah dalam kejadian 2.50 petang tadi, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang kebetulan melalui kawasan itu turut berhenti dan cuba menenangkan wanita terbabit berusia 40-an yang tersepit di dalam kereta.

Ketika kejadian itu Ahmad Bashah dalam perjalanan untuk menghadiri majlis penyampaian bantuan kepada institusi pondok di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah atau lebih dikenali Pondok Tanjung Kapur di Jitra, dekat sini.

Bagaimanapun mangsa tidak parah selepas pihak bomba yang tiba di tempat kejadian membantu mengeluarkan kedua-duanya yang tersepit.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Nurhafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada 3 petang.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kemalangan antara dua kereta sebelum usaha menyelamatkan mangsa dilakukan.

“Mangsa yang dibawa keluar kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan dan operasi tamat jam 3.24 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:08 PM