Abdullah Besar, 60, yang dilaporkan hilang di kawasan hutan belakang rumahnya di Kampung Tanjung, Bukit Mentok. - Foto ZAID SALIM.
BERNAMA

Kemaman: Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan di belakang rumahnya pada pagi Sabtu lalu, di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini.

Abdullah Besar, 60, dikatakan menghidap gangguan mental dan menurut anak saudaranya, Muhammad Hakim Razali, 27, biasanya setiap kali sakitnya menyerang, lelaki itu masuk ke dalam hutan tetapi tetap balik ke rumah dua tiga jam kemudian.

"Hari itu dia keluar dari rumah dalam keadaan muka marah dan meluru masuk ke dalam hutan di belakang rumah seperti mengejar sesuatu," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya selepas 24 jam bapa saudaranya tidak muncul, dia membuat laporan di Balai Polis Chukai Ahad lalu.

Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak tiga hari lalu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dengan dibantu penduduk kampung.

Pegawai Operasi BBP Chukai, PBK II Mat Daling Mat Dahan berkata, radius pencarian diperluaskan ke kawasan sekitar tiga kilometer dari rumah mangsa serta membuat rondaan di sepanjang sungai kira-kira dua kilometer dari rumah.

Operasi SAR hari ketiga juga menggunakan dua bot serta Unit K9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:05 PM