POLIS dan aktivis etnik minoriti Nepal bertempur di Kathmandu, semalam.

Kathmandu: Penyokong kumpulan etnik minoriti Nepal yang menuntut perubahan dalam perlembagaan baru itu bertempur dengan polis buat hari kedua berturut-turut semalam.

Kira-kira 500 penunjuk perasaan, sambil melaungkan slogan antikerajaan cuba merempuh sekatan polis untuk berarak ke pejabat perdana menteri.

Pertempuran berlaku seketika dengan polis menggunakan belantan mematahkan cubaan penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, tidak ada kecederaan dilaporkan.

Kawalan keselamatan ditingkatkan di sekitar Singha Durbar, kompleks yang menempatkan pejabat perdana menteri dan kerajaan sementara ratusan polis pencegah rusuhan mengawal jalan raya.

Kumpulan etnik Madhesi yang mengetuai tunjuk perasaan mahukan negeri yang lebih besar daripada yang diperuntukkan perlembagaan yang diluluskan tahun lalu.

Sekurang-kurangnya tiga etnik minoriti lain kemudian menyertai tunjuk perasaan itu, menuntut negeri berasingan untuk mereka.

Nepal dengan populasi 28 juta, mempunyai lebih 100 kumpulan etnik.

Tunjuk perasaan etnik Madhesi sebelum ini menyebabkan lebih 50 orang terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:05 AM