ISMAIL mendengar rintihan nelayan Ong Ah Soi (kiri) selepas majlis interaksi.
ISMAIL (kiri) dan Dr Mazuki (kanan) mendengar penerangan daripada pengusaha ikan sangkar, Tan Eng San (tengah) di Pulau Ketam.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Penternakan akuakultur di Pulau Ketam, Klang, bermula secara kecil-kecilan pada 1988 membabitkan lima pengusaha.

Projek berkenaan terus berkembang dengan pertambahan lebih ramai pengusaha.

Tahun lalu, terdapat seramai 52 pengusaha di perairan Klang dengan 37 daripadanya penternak berlesen Sistem Kultur Laut (SKL).

Secara keseluruhannya, Selangor mengeluarkan ikan ternakan sangkar daripada spesies kerapu, merah, siakap dan jenahak melebihi 1,800 tan metrik membabitkan nilai RM44.5 juta, tahun lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, bagi aktiviti perikanan tangkapan, terdapat 6,496 nelayan dari enam daerah utama di Selangor.

Beliau berkata, sejumlah 4,322 unit vesel (bot nelayan) berdaftar dengan 49 peratus daripadanya bot jentera sangkut, 36 peratus bot Zon A, sembilan peratus bot Zon B, empat peratus bot Zon C dan tiga bot C2.

“Secara keseluruhan ada 1,074 nelayan di Pulau Ketam. Nelayan Zon A seramai 416 orang dengan 79 peratus daripadanya nelayan sampan.

“Seramai 658 daripadanya nelayan Zon B dengan bilangan bot pukat tunda sebanyak 306 unit.

“Isu utama yang melanda penternak sangkar ialah pembaharuan lesen SKL dan lesen bot SKL, kru asing SKL, pembaharuan permit pekerja asing dan kawalan import benih ikan marin ke dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Interaksi Bersama Penternak dan Nelayan di Pulau Ketam, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur, Jabatan Perikanan Dr Mazuki Hashim.

Majlis itu bertujuan mengeratkan hubungan dan kerjasama antara semua pihak serta mengupas isu berbangkit demi pembangunan industri perikanan negara.

Ismail berkata, bagi nelayan di Pulau Ketam isu penghapusan bot tunda zon B menjelang tahun 2020, permit kru asing, isu penggantungan lesen serta hal ehwal penguatkuasaan di sempadan negara antara dikenal pasti.

“Ini kerana ada bot menangkap ikan di perairan Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia. Malaysia dan Indonesia menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berhubung pengendalian kes bot nelayan yang menangkap ikan di sempadan antara kedua-dua negara.

“Selain itu, kita memperkukuh Kerjasama Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan DOF sebagai peneraju agensi khususnya membabitkan isu perikanan.

“Justeru, kita akan membincangkan isu dan masalah dihadapi penternak dan nelayan Pulau Ketam, seterusnya mencadangkan penyelesaian bagi pembangunan industri perikanan di Pulau Ketam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 10:49 AM