Lydiawati didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap peniaga dengan memukul mangsa menggunakan besi, Mac lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Ampang: Pelakon Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon, 51, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi, atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita dengan memukulnya menggunakan besi pada 24 Mac lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Hadlina A Raof.

Lydiawati didakwa menyebabkan kecederaan terhadap ahli perniagaan, Sharifah Harnizam Wan Musa, 43.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Hotel Safari 2, Lot 52, Jalan Mamanda 9, dekat sini, pada 6.30 petang.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu , jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang mempunyai masalah jantung diikat jamin RM3,300.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 2:52 PM