IBRAHIMOVIC (tengah) menjulang trofi selepas PSG dinobat juara Ligue 1.

Paris: Zlatan Ibrahimovic menanduk masuk gol sembilan minit sebelum rehat sekali gus mengatasi rekod jaringan semusim Paris Saint-Germain pada perlawanan yang menyaksikan juara Ligue 1 itu menang 4-0 ke atas Nantes, kelmarin.

Ketika gelaran juara Ligue 1 sudah dimenangi dan final Piala Perancis menentang Marseille berlangsung minggu depan, cerita selepas perlawanan terarah kepada Ibrahimovic yang memecahkan rekod jaringan semusim PSG di Parc des Princes.

Memulakan perlawanan dengan 36 gol, penyerang Sweden itu menyamai rekod kelab yang dicatat pada 1997-98 oleh Carlos Bianchi, menerusi jaringan ke-37 pada minit ke-18.

Ibrahimovic kemudian meledak gol ke-38 hasil hantaran lintang Javier Pastore yang juga rekod baharu buat kelabnya.

“Saya sangat gembira. Hari ini amat istimewa selepas empat tahun bersama kelab ini dan kami memenangi banyak gelaran,” kata Ibrahimovic.

“Terima kasih ‘Ibracadabra’, tempoh empat tahun ini akan kekal dalam hati saya.”

Ibrahimovic berharap PSG akan terus memenangi pelbagai gelaran dan menambah: “Tanpa Ibra ia mungkin sukar tapi tidak mustahil!”

Ia jaringan terbaik untuk menandakan aksi terakhirnya di Parc dengan jersi PSG sebelum mengharungi cabaran di tempat lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:43 AM