CONTE
AFP

London: Pengurus Leicester City Claudio Ranieri percaya Chelsea akan kembali menggegar di bawah bimbingan jurulatih Itali Antonio Conte.

Bekas pengurus Chelsea Ranieri membawa anak buahnya ke Stamford Bridge malam tadi dengan Leicester sudah sah dinobat sebagai juara bagi menggantikan Blues walaupun tidak pernah diberi harapan untuk menjulang Liga Perdana sebelum ini.

Chelsea menduduki tangga kesembilan liga tetapi Ranieri percaya kelab itu tidak akan mengambil masa panjang untuk kembali mencabar kejuaraan apatah lagi Conte pernah memenangi tiga gelaran Serie A ketika membimbing Juventus.

“Beliau seorang yang hebat. Sukar baginya untuk mengubah sikapnya itu kerana beliau pasti membuat rombakan ke atas pasukannya,” kata Ranieri.

“Saya akan tunggu dan lihat apa perubahan yang akan dilakukannya. Beliau pasti mengubah semuanya.

“Beliau seorang pengurus yang akan menumpukan perhatian kepada apa yang dilakukannya. Beliau mahu ambil tahu semua yang berlaku ke atas pasukannya.”

Ranieri pernah mengendalikan Chelsea antara 2000 dan 2004 sebelum digantikan Mourinho.

Leicester akan mengadakan majlis sambutan kejayaan mereka hari ini sebelum berlepas ke Thailand, tanah air pemilik kelab mereka.

The Foxes akan kembali untuk mengharungi sesi pramusim, Julai ini dan mereka akan terbabit dengan Piala Juara Antarabangsa.

Leicester akan bertandang ke Glasgow untuk bertemu Celtic pada 23 Julai sebelum berlepas ke Los Angeles untuk bertemu Paris Saint-Germain, seminggu kemudian.

Mereka akan melengkapkan kejohanan dengan menentang juara Sepanyol Barcelona di Stockholm pada 3 Ogos pada perlawanan yang diharapkan Ranieri menjadi persiapan terbaik sebelum bermulanya musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:41 AM